[ad_1]

KEPALA BATAS: Polis Pulau Pinang berjaya menumpaskan ‘Geng Tebuk’ warga Vietnam yang aktif  melakukan kegiatan pecah pasar raya dan kedai emas di daerah Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Tengah, membabitkan kerugian RM1 juta.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata kumpulan itu, yang didalangi dua lelaki berusia 33 dan 38 tahun, berjaya ditahan dalam Op Tebuk, di Butterworth, Rabu lepas.

Norzainy berkata, kedua-dua suspek tinggal di negara ini sejak tiga tahun lalu menggunakan pas lawatan sosial dan bekerja sebagai tukang sembelih khinzir di Mak Mandin.

Katanya, kumpulan itu aktif melakukan jenayah sejak enam bulan lepas dan mengaku mengirim semua wang hasil rompakan bernilai hampir RM1 juta ke kampung halaman mereka di Vietnam.

“Wang tunai (yang dirompak) dihantar ke kampung. Modus operandi adalah dengan pecah masuk pintu belakang (premis) untuk tebuk peti besi.

“Kita juga temui alatan seperti parang yang digunakan untuk mempertahan diri. (Mereka juga) pinjam kereta milik warga Vietnam di KL,” ujar Noorzainy.

Dalam tangkapan itu, polis menemui pelbagai peralatan dan senjata di dalam kereta dipinjam daripada rakan mereka, yang disyaki untuk kegunaan melakukan kegiatan jenayah berkenaan.

Susulan penahanan kedua-dua suspek, beliau berkata, polis percaya berjaya menyelesaikan enam kes pecah pasar raya, kedai emas dan rumah yang berlaku di sekitar daerah itu.

Dalam pada itu Norzainy berkata, polis kini mengesan dua lagi rakan sejenayah suspek yang masih bebas.

Semua suspek direman sehingga 28 Julai ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Akta Pencegahan Jenayah (POCA).



[ad_2]
Source link