KUALA KANGSAR: Tidak sanggup melihat kucing peliharaannya menanggung kesakitan akibat mata kail pancing tersangkut di kaki, seorang wanita nekad membawa haiwan itu ke Balai Bomba dan Penyelamat di sini, hari ini.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada pukul 8.31 pagi di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar.

“Laporan dari komander operasi mengatakan, seorang pengadu bernama Yang Zulaihan Mustafa, yang merupakan pemilik kucing itu, telah datang sendiri ke balai membawa seekor kucing jantan.

Anggota bomba menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mata kail yang tersangkut di tapak kaki kucing. Foto JBPM Perak

“Pihak kami mendapati ada mata kail yang tersangkut pada tapak kaki kucing tersebut.

“Mengikut apa yang dijelaskan oleh pengadu, mata kail pancing itu berada di dalam rumah pengadu dan kebetulan kucing itu berlari-lari, lalu terkena mata kail tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Susulan itu, anggota yang terlibat bertindak menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mata kail tersebut di bahagian tapak kaki kucing sehingga berjaya dan operasi tamat pada pukul 8.48 pagi.

Yang Zulaihan datang ke BBP Kuala Kangsar bersama kucing peliharaan dan anaknya. Foto JBPM Perak





Source link