[ad_1]

JOHOR BAHRU: Sebahagian kawasan di daerah Johor Bahru akan mengalami gangguan bekalan air bersih selama 23 jam berikutan kerja-kerja penyelenggaraan di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Johor yang dijadualkan bermula 30 Julai ini.

Penyelenggaraan di LRA akan bermula pada pukul 10 pagi pada 30 Julai dan dijadualkan berakhir pukul 9.00 pagi keesokan harinya, kata Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan Utiliti Negeri Johor, Jimmy Puah Wee Tse.

“Gangguan bekalan air bersih ini akan melibatkan kira-kira 170,000 akaun pengguna. Para pengguna diminta tidak panik kerana ini adalah penyelenggaraan rutin bagi memastikan kualiti pembekalan air bersih dapat terus dibekalkan kepada semua pengguna pada masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Puah turut menasihati pengguna yang terlibat agar menyimpan air secukupnya bagi kegunaan sepanjang tempoh gangguan dan menggunanya secara berhemah.

Maklumat lanjut mengenai kawasan terlibat dan info terkini boleh didapati dalam laman sesawang www.ranhillsaj.com.my dan talian mesra 1 800 88 7474 atau SMS 019 772 7474.

— BERNAMA



[ad_2]
Source link