LONDON: Buat kali pertama, satu siri gambar hitam putih yang menunjukkan suasana konsert jelajah Rolling Stones pada tahun 1963, bakal didedahkan kepada umum di timur London, bulan ini.

Reuters melaporkan, gambar-gambar itu, yang dirakam di studio rakaman di London dan juga sewaktu persembahan di Cardiff, Wales, telah disimpan rapi di bawah katil jurugambar Gus Coral selama lebih 50 tahun sebelum dia membuat keputusan untuk melihatnya semula.

Lebih menarik, gambar-gambar itu adalah rakaman peristiwa dan perjalanan karier kumpulan muzik berkenaan yang tanpa disedari menjadi fenomena antarabangsa.

Antaranya adalah gamba anggota kumpulan itu mengeluarkan bahagian wang masing-masing untuk membayar harga tambang teksi, dan gambar khalayak kecil yang sanggup menunggu di dalam hujan sebelum kumpulan itu membuat persembahan di Cardiff.

Coral, yang berusia 26 tahun ketika dia mengambil gambar itu, mengaku pernah terfikir bahawa Rolling Stones bakal menjadi jenama besar dan masyhur.

“Jelas sekali, saya tidak tahu mereka mampu bertahan setelah sekian lama dan menjadi istimewa. Namun saya tahu bahawa mereka adalah istimewa.

“Kami baru saja melepasi fasa Perang Dunia Kedua dan terdapat beberapa orang yang mahu merintis jalan yang baharu, dan budaya yang baharu untuk dituju. Mereka (Rolling Stones) adalah salah satu daripada mereka,” ujar Coral.

Ketika memerhatikan Mick Jagger dan anggota kumpulan – Keith Richards, Bill Wyman, Charlie Watts dan Brian Jones – sebelum mereka merakam lagu I Wanna Be Your Man di London, Coral teruja pada profesionalisme mereka.

“Orang hanya mahu mendengar cerita ‘anggota kumpulan muzik merosakkan bilik hotel’ atau ‘deretan gadis remaja menunggu di luar pintu’, tapi mereka tidak sebegitu. Setiap daripada mereka serius dalam bekerja dan memberi tumpuan pada rakaman lagu,” jelasnya.

Coral dan beberapa kawannya memandu ke Cardiff untuk merakamkan konsert itu, dan mereka diberi akses penuh.

Gambar-gambar yang dirakam oleh kamera Coral bakal didedahkan dalam sebuah pameran bernama Black & White Blues – Where It All Began di The Curtain, timur London dari 18 November hingga 2 Disember.





Source link