KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan mengadakan dua program Respect bagi musim 2019-2020, suuslan kerjasama yang dijalin persatuan itu dengan Persatuan Bola Sepak Inggeris (EFA) .

Program pertama adalah kempen ‘Together’ Khamis ini, menumpukan untuk menangani peningkatan masalah menghina dan kekasaran terhadap pegawai dan penonton dalam liga profesional manakala keduanya kempen ‘Play Positive’ pada Januari 2020, menumpukan pada peranan jurulatih dan ibu bapa dalam mewujudkan persekitaran positif untuk pemain berusia antara empat dan 12 tahun.

Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin, berkata badan kebangsaan itu berbesar hati dapat menjalin kerjasama dengan EFA dalam mewujudkan kesedaran, terutamanya untuk menyediakan persekitaran yang selamat dan menyeronokkan dalam bola sepak seperti peminat, pegawai perlawanan dan pentadbir kelab di negara ini.

“Dalam usaha untuk membuat perbezaan sebenar terhadap tingkah laku setiap orang yang terlibat dalam permainan, perubahan budaya perlu berlaku di semua peringkat,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan FAM hari ini.

Senada dengan pandangan Hamidin, Pengerusi EFA Greg Clarke yang gembira dapat berkongsi pengalaman mereka di samping memberi panduan bersama-sama dengan FAM berhubung program Respect, yang disesuaikan dengan permainan di negara mereka sendiri.

Beliau berkata berkongsi ilmu antara dua persatuan kebangsaan itu merupakan kunci penting bagi pembangunan bola sepak di negara masing-masing.

“Kempen kami telah mengalami banyak perubahan sejak penubuhannya tetapi tetap berusaha untuk meambah baik pemainan di padang dan tingkah laku dengan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan dan manfaat Respect selama ini,” kata Clarke.

Untuk rekod, EFA melancarkan program Respect pada 2008 selepas terdapat banyak masalah berkaitan tingkah laku dalam permainan peringkat kebangsaan.

— BERNAMA





Source link