[ad_1]

SEREMBAN: Polis menahan enam lelaki yang dipercayai terbabit dengan kegiatan lumba kereta haram di jalan raya dalam Op Samseng Jalanan di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohd Said Ibrahim berkata mereka berumur 20an itu ditahan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban di Jalan Dato Bandar Tunggal sini selepas didapati memandu secara melulu dan berbahaya di jalan berkenaan, pada pukul 1 pagi.

Beliau berkata serbuan berkenaan dilakukan selepas risikan yang dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota mengenai aktiviti lumba haram di kawasan tersebut.

“Selain penahanan kesemua mereka, polis juga turut menyita empat buah kenderaan jenis Proton Satria.

“Kesemua mereka direman selama dua hari bermula hari tangkapan dan akan dituduh di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 jika disabitkan kesalahan mereka boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda tidak kurang dari RM5,000 dan tidak lebih daripada RM15,000,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

— BERNAMA



[ad_2]
Source link