[ad_1]

MELAKA: Hanya empat pegawai masjid dibenar melakukan solat Tarawih secara berjemaah selepas solat Isyak di semua masjid di negeri ini bermula esok (Jumaat).

Ketua Menteri Datuk Sulaiman Md Ali berkata kelonggaran itu melibatkan pengerusi masjid, imam, bilal serta siak dan kesemua mereka mesti mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan.

“Syarat lain yang mesti dipatuhi ialah solat Tarawih hanya lapan rakaat dan ringkas, tidak menggunakan pembesar suara di luar masjid, ada jarak sosial dan semua pegawai tidak mempunyai simptom COVID-19 seperti batuk, sakit tekak, demam dan sesak nafas. Borang kaji selidik peribadi akan dibekalkan.

“Kebenaran itu diputuskan setelah perbincangan bersama Pejabat Mufti dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM),” katanya dalam kenyataan di sini, pada Khamis.

Kerajaan negeri turut bersetuju untuk memberi kebenaran operasi kepada mahkamah syariah di tiga daerah di negeri ini iaitu di Melaka Tengah, Jasin dan Alor Gajah bermula 4 Mei.

Sulaiman berkata namun, operasi itu hanya dibenarkan untuk dua hari seminggu bermula 8.00 pagi hingga 12 tengah hari sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa keempat sehingga 12 Mei dan ia hanya melibatkan kes terdesak yang memerlukan tindakan segera seperti tuntutan perceraian.

“Pihak mahkamah mempunyai kuasa untuk menentukan kes yang dikategori sebagai kes terdesak untuk diambil tindakan segera dan kelonggaran ini diharap mampu memberi kemudahan kepada semua pihak yang terlibat,” katanya.

— BERNAMA



[ad_2]
Source link