[ad_1]

PUTRAJAYA: Misi Bantuan Kemanusiaan dan Peredaan Bencana (HADR) akan dimulakan hari ini bagi membawa pulang 132 rakyat Malaysia (termasuk ahli keluarga mereka) dari bandar Wuhan, China yang telah mendaftar dengan Kedutaan Malaysia.

Selain 132 rakyat Malaysia itu, misi berkenaan juga membawa bersama 14 pegawai kerajaan dari pelbagai kementerian dan agensi sementara 12 orang lagi merupakan krew pesawat AirAsia.

Pegawai dan anggota yang terlibat dalam misi ini adalah dari Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Kementerian Luar Negeri (KLN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan beberapa agensi lain.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kesemua 158 penumpang dalam pesawat tersebut perlu melalui empat fasa saringan iaitu sebelum berlepas ke Wuhan, semasa misi membawa pulang (in-flight operation), ketibaan di tanah air dan di pusat pemantauan.

Menurut beliau, mereka hanya akan dibenarkan pulang ke rumah masing masing sebaik melepasi kesemua ujian saringan selain tidak menunjukkan sebarang simptom sewaktu tempoh pemantauan ditetapkan.

“Mereka akan dibenarkan pulang selepas sihat dan negatif jangkitan nCoV, tetapi dengan tempoh 14 hari, selepas 14 hari,” kata Dr Dzulkefly dalam sidang media di pejabatnya pada Isnin.

Dr Dzulkefly bagaimanapun, tidak mendedahkan lokasi spesifik bagi pusat pemantauan sebaliknya, beliau menjelaskan, pihaknya telah melihat kawasan tersebut yang lengkap dengan fasiliti.

Tambah Dr. Dzulkefly, waris keluarga yang pulang dari bandar Wuhan juga tidak dibenarkan untuk melawat ahli keluarga mereka yang ditahan di pusat pemantauan, melainkan telah melebihi 14 hari.

Kata beliau, mereka yang berkemungkinan dijangkiti dapat dikesan mempunyai simptom positif novel koronavirus akan segera dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.

“Bergantung kepada bagaimana yang telah disaring itu, bagi yang ada gejala atau ada simptom akan dibawa ke hospital rujukan 2019 nCoV sama ada Hospital Sungai Buloh atau Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya.

Setakat jam 12 tengah hari Isnin, Dr Dzulkefly memaklumkan bahawa tiada kes pertambahan kes positif 2019-nCoV.

“Alhamdulillah, kita bersyukur tidak saksikan apa-apa penambahan. Hari keempat, positif kekal lapan kes.

“Pesakit dibawah pemantauan (PUI) adalah 192 orang. 22 masih menunggu keputusan, 167 negatif manakala jumlah positif kekal tiga (pesakit).

“Pihak Kementerian Kesihatan akan terus memantau dari semasa ke semasa dan mendapatkan maklumat daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan semua pihak,” kata beliau lagi.



[ad_2]
Source link