KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menyarankan sayap-sayap pergerakan parti menyahut cabaran merangka Tawaran Baru UMNO untuk rakyat Malaysia – Our New Deal.

Ia bagi membuktikan betapa seriusnya UMNO dalam pemerkasaan diri sekali gus menjadi sebuah pergerakan yang inklusif.

Menurutnya, Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO perlu merumuskan suatu agenda yang konkrit untuk dijadikan tawaran UMNO kepada orang Melayu dan rakyat Malaysia.

“Tawaran itu merangkumi empat elemen penting iaitu jaminan dan iltizam UMNO dalam mengukuhkan kedudukan politik dan kuasa Melayu.

“Elemen kedua adalah jaminan dan iltizam UMNO dalam memperbaiki kedudukan sosio ekonomi dan kemajuan bangsa Melayu.

“Elemen ketiga adalah jaminan dan iltizam UMNO dalam mengukuhkan kedudukan Islam, institusi Raja-raja, bahasa kebangsaan dan budaya Melayu.

“Elemen keempat pula jaminan dan iltizam UMNO dalam mengukuhkan kemajmukan Malaysia, menghormati kepentingan pelbagai kaum seterusnya memaju dan menyejahterakan Malaysia yang tercinta,” kata Mohamad.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Perhimpunan Agung UMNO 2019 yang membuka tirai pada Rabu menerusi perasmian olehnya sebagai Timbalan Presiden.

Tambah beliau, tawaran berkenaan perlu dirangka sebaiknya dengan mengambil kira pelbagai pandangan dan kecerdasan dengan mengutamakan, pandangan akar umbi dan orang kebanyakan.

“UMNO tidak boleh beroperasi seperti dahulu lagi. Segalanya kita lakukan sendirian dan kemudian kita paksakan ia menjadi rukun, ke atas orang Melayu. Zaman itu telah berakhir.

“Sekarang kita mesti mencungkil kebijakan dari semua, bukan segelintir.

“Kita kumpulkan NGO, NGI, ahli akademik, pemikir unggul, profesor ulung, para asatizah, pakar dalam pelbagai bidang kemahiran dan semua pihak untuk kita rangkakan The New Deal ini, ” jelasnya.





Source link