Kemampanan dan kelestarian alam semula jadi mampu menjadi tarikan, jenama dan pelaburan kepada sesebuah negara.

Namun, semua itu boleh jadi tidak kekal lama, kerana gangguan rakus yang dilakukan manusia boleh menyebabkan alam menjadi binasa.

Pandemik COVID-19 yang menyerang secara agresif ke seluruh dunia memperlihatkan sejauh mana kesihatan dan kesejahteraan hidup bergantung kepada kesihatan dan kesejahteraan alam semula jadi.

Sehingga artikel ini ditulis, COVID-19 telah menjangkiti lebih 11.5 juta manusia dan kematian melebihi 500,000 orang.

Naratif COVID-19 perlu diangkat sebagai darurat kesihatan supaya pendekatan yang proaktif dan bersepadu untuk memerangi wabak penyakit berjangkit ini dilihat secara lebih terperinci. Di samping pelaburan dan penyelidikan dalam bidang kesihatan epidemiologi, pelaburan tersebut juga perlu pada akarnya, iaitu bagi mengelakkan pemusnahan alam semula jadi.

Manusia diberikan kepandaian dan keupayaan untuk membangunkan bumi selaras keperluan hidup, namun, tabiat tamak membuatkan mereka lupa bahawa ruang kehidupan itu sebenarnya dikongsi dengan hidupan lain.

Bukan suatu kebetulan apabila peningkatan penyakit berjangkit ini berlaku seiring pencerobohan yang dilakukan manusia terhadap alam semula jadi, sekali gus mengakibatkan perubahan iklim, pembangunan melampau, pelepasan gas rumah hijau dan penggondolan hutan secara tidak terancang.

Kehilangan habitat, kepupusan biodiversiti dan eksploitasi terhadap hidupan liar juga mendorong kepada asimilasi haiwan, peningkatan penyakit serta terlahirnya patogen baharu yang menjadi virus yang mengancam manusia.

Sejarah pernah membuktikan bahawa manusia terdedah pada risiko jangkitan melibatkan haiwan. Contohnya, jangkitan virus Nipah dan Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) dan juga Sindrom Pernafasan Timur Tengah (MERS-CoV) yang pernah menular sebelum ini.

Kini, ancaman COVID-19 perlu dilihat sebagai peluang keemasan untuk memikirkan kembali cara kita bertindak dengan sewajarnya, seperti menyalurkan pelaburan ke sektor ekonomi hijau yang boleh diperbaharui.

Belanjawan perlu dilakukan secara bijak untuk setiap sektor dengan menitikberatkan faktor alam semula jadi.

Normal baharu yang diterapkan bukanlah setakat memakai pelitup muka, kerap membasuh tangan dan menjaga jarak sosial malahan, setiap perbuatan dalam melindungi dan memelihara alam semula jadi perlu dipraktikkan.

Penciptaan alam sekitar adalah untuk kemudahan dan kesenangan manusia dalam jangka panjang. Keseimbangan alam semula jadi perlu dipelihara untuk kelestarian dan kesejahteraan hidup. Dalam usaha menyelamatkan diri, alam semula jadi juga perlu diselamatkan.

Jangan lupa ikuti diskusi dan pembahasan secara mendalam bersama panel kami menerusi webinar AWANI – The New Normal Series S05 membincangkan isu ‘Jaga Alam, Elak Pandemik’ pada 8 Julai 2020.

Daftar sekarang di events.astroawani.com
 




Source link