SEREMBAN: Keputusan kabinet membenarkan perkhidmatan motosikal e-hailing baru-baru ini dilihat dari isu keselamatan secara keseluruhannya, kerana kajiannya nanti akan turut merangkumi aspek yang berkaitan dengan lain-lain perkhimatan penghantaran menggunakan motosikal.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Foo berkata walaupun ada pihak yang menyuarakan rasa bimbang dan membantah keputusan itu, tetapi pihaknya melihat ia dari sudut bahawa ini merupakan satu peluang untuk membuat satu kerangka keselamatan yang dapat mengubah cara menunggang motosikal dengan selamat.

“Ini termasuk penunggang motosikal yang terlibat dengan penghantaran makanan, dokumen dan sebagainya yang selama ini memang mereka tidak ada dikawal,” katanya pada sidang media selepas turun padang ke Program Sokongan Keselamatan Perjalanan (CSSP) di Wisma TNB di sini, hari ini.

Beliau memberi contoh penunggang motosikal yang terlibat dalam perkhidmatan penghantaran makanan yang telah ada dalam negara sejak sekian lama, dan tidak pernah ada kerangka keselamatan bagi mengawal mereka.

Katanya banyak aduan diterima menyatakan mereka ini menunggang motosikal dengan laju dan dalam keadaan merbahaya, kerana dikatakan hendak mengejar masa.

“Itu sebabnya setakat ini tidak ada apa-apa kerangka keselamatan dan peraturan yang mengawal penunggang motosikal ini. Jadi, apabila kerajaan membuat keputusan untuk membenarkan perkhidmatan motosikal e-hailing ini, kita akan mengambil peluang ini untuk merangka satu peraturan baharu.

“Ini semua kita akan satukan dalam satu kerangka. kita akan bincangkan perkara ini bersama dengan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan kita akan menggunakan peluang ini untuk mengawal-selia dengan lebih baik dan kita harap ini akan dapat mengubah sikap penunggang motosikal ini,” katanya.

Mengenai CSSP, beliau berkata program itu adalah kolaborasi antara Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Miros, yang merupakan satu program latihan pengurusan perjalanan selamat dan program intervensi untuk meningkatkan pengetahuan, kesedaran dan kemahiran berhubung keselamatan jalan raya, khususnya keselamatan menunggang motosikal semasa perjalanan pergi-balik kerja.

Katanya program ini mula diperkenalkan pada tahun 2017 dengan penyertaan seramai 20 majikan di sekitar Lembah Klang dan telah diperluaskan kepada 95 majikan pada tahun 2018.

“Pada tahun ini disasarkan 70 majikan menyertai program ini dengan Perkeso menyediakan peruntukan RM1.5 juta. Kerajaan amat prihatin terhadap isu keselamatan jalan raya yang melibatkan pekerja yang menunggang motosikal pergi dan balik kerja.

“Mengikut statistik purata setiap hari ada dua kematian dikalangan pekerja yang menunggang motosikal semasa perjalanan pergi-balik kerja dan kemalangan ini selalunya berlaku dalam lingkungan jarak 5 kilometer. Ini sesuatu yang amat membimbangkan dan kita harap perkara ini dapat ditangani dengan memberikan kesedaran dan juga kemahiran tentang keselamatan,” katanya.





Source link