[ad_1]

IPOH: Dua peniaga didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Rabu atas tuduhan memberi suapan sebanyak RM5,000 kepada seorang Penolong Penguasa Imigresen, dua tahun lalu.

Tertuduh, Fabian Dang Wen Min, 51, dan Choo Chee Seng, 47, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan berasingan di hadapan Hakim S. Indra Nehru.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa memberi suapan kepada ejen kerajaan iaitu Penolong Penguasa Imigresen, Jabatan Imigresen Perak, Abdul Majid Mohamed di Restoran Pizza Hut, Jalan Meru Bestari B2, Meru Bestari di sini pada pukul 3.56 petang, 13 Oktober 2017.

Suapan itu sebagai dorongan kepada Abdul Majid agar tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap Chee Seng yang merupakan pemilik kopitiam di pekan Menglembu atas kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana menggaji empat pekerja warga asing dari Bangladesh yang tidak mempunyai permit pekerjaan.

Pertuduhan dijalankan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nurul Wahida Jalaluddin.

Hakim menetapkan jaminan sebanyak RM15,000 ke atas setiap tertuduh dan 28 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes.



[ad_2]
Source link