Dua pelumba Petronas Yamaha SRT sedia berlumba selepas rehat musim panas 1

KUALA LUMPUR: Pelumba pasukan Petronas Yamaha SRT Fabio Quartararo dan Franco Morbidelli, tidak sabar untuk berlumba semula, pada Perlumbaan Grand Prix Motosikal (MotoGP) yang akan berlangsung di Czech GP di litar Automotodrom Brno.

Quartararo yang kini di tempat kelapan dengan 67 mata, bersedia untuk kembali cemerlang di Brno, selepas gagal mengutip sebarang mata pada perlumbaan terakhir di GP Jerman.

Bagaimanapun dengan masa yang mencukupi untuk pulih selepas menjalani pembedahan di tangannya pada May, beliau yakin akan dapat kembali ke prestasi sebelum ini, yang menyaksikan beliau berjaya menaiki podium dua kali, apabila beraksi di Brno.

“Brno merupakan satu litar yang saya suka, kerana ia pantas, dengan pendakian dan pertukaran arah dan tidak terlalu banyak laluan lurus. Saya telah berehat mencukupi untuk tangan dan bahu saya sembuh dan telah berlatih keras, bersedia untuk menghabiskan musim ini.

“Tangan dan bahu saya sudah pulih dan saya telah menunggang motocross untuk mengesahkannya. Saya mahu tahu bagaimana akan rasa ketika berlumba. Saya harapkan ia akan sama seperti perlumbaan sebelum ini, dalam kedudukan lapan terbaik. Kami juga tahu kami boleh sangat pantas pada sesi kelayakan, jadi kami boleh mengharapkan yang terbaik, ” kata Quartararo dalam kenyataan dikeluarkan pasukan.

Rakan sepasukan Morbidelli juga mengharapkan keputusan yang baik, untuk perbaiki prestasi yang meletakkannya kini di tempat ke-11, dengan 52 mata kejohanan.

Dengan litar yang sesuai untuk cara beliau berlumba dan jentera Yamaha YZR-M1, Morbidelli yakin yang beliau boleh kembali ke-10 teratas pada perlumbaan 4 Ogos.

“Brno merupakan salah satu daripada litar terbaik dalam kalendar perlumbaan dan ia sesuai untuk Yamaha, jadi saya tidak sabar untuk ke sana. Saya rasakan yang kami agak baik dalam beberapa perlumbaan sebelum ini dan saya harap saya boleh bermula dari sana dan perbaiki di mana yang kami tinggalkan.

“Sukar untuk nyatakan sasaran, kerana ia bergantung kepada orang lain juga, tetapi kami boleh menjadi kompetetif dan menyasarkan kedudukan lima terbaik,” kata Morbidelli.

Perlumbaan di Automotodrom Brno akan bermula pada Jumaat 2 Ogos, dengan latihan bebas bermula 9.55 pagi waktu tempatan (3.55pm waktu Malaysia) dan perlumbaan bermula 2 petang waktu tempatan (8.00pm waktu Malaysia) pada Ahad 4 Ogos.

— BERNAMA





Source link