[ad_1]

BUTTERWORTH: Hasrat menziarahi keluarga tidak kesampaian apabila dua beranak maut, manakala tiga lagi parah dalam kemalangan di Kilometer 119 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara, di Bertam, Kepala Batas, malam Sabtu.

Dalam kejadian jam 10.45 malam itu, kereta dinaiki keluarga itu dalam perjalanan dari Taiping menunju ke Sungai Petani, sebelum terbabas dan terbalik ke dalam longkang sedalam empat meter.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata Muhammad Ruszamil Mohd Fazil, 20, yang memandu kereta dan ibunya Rusnah Osman, 60, meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, dua lagi anak Rusnah berusia 36 dan 30 tahun serta cucunya berusia dua tahun, pula mengalamai kecederaan parah.

“Siasatan awal mendapati, sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta dinaiki telah hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri lebuh raya lalu terjunam ke dalam longkang besar.

“Kelima-lima penumpang kenderaan tersebut terperangkap dengan dua daripada mereka berjaya diselamatkan oleh pengguna jalan raya.

“Tiga lagi mangsa yang tersepit dikeluarkan oleh pasukan bomba yang mengambil masa kira-kira 40 minit,” katanya di sini, pada Ahad.

Norzainy berkata, sebaik dikeluarkan pasukan perubatan mendapati dua beranak itu telah meninggal dunia.

Katanya, dua lagi mangsa lelaki dewasa cedera pada kaki manakala kanak-kanak berusia dua tahun mengalami pendarahan otak dengan semua mereka sedang dirawat di hospital.

Norzainy berkata siasatan lanjut masih dijalankan dan saksi yang mempunyai maklumat diminta menghubungi polis bagi membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.



[ad_2]
Source link