Disindir bantu bangsa lain, Chua nekad teruskan impian 1

BUKIT MERTAJAM: Matlamat dan impiannya hanya satu iaitu membantu mereka yang dalam kesempitan, kesusahan sekali gus mengembalikan keceriaan insan-insan di dunia ini tanpa mengira latar belakang dan bangsa.

Itu cita-cita yang dikejar oleh seorang pemilik tubuh bernama Chua Sui Hau semasa membuka sebuah pusat badan kebajikan One Hope Charity and Welfare Berhad.

Biarpun hasratnya itu pernah dikritik dengan sindiran dan kata-kata nista oleh masyarakat sekeliling yang cuba menghasutnya untuk tidak menolong bangsa lain selain kaumnya, ia tidak sekali menjadi pematah semangat atau penghalang kepada Chua untuk meneruskan hasratnya membantu mereka yang memerlukan dari sudut pelbagai lapisan bangsa dan agama.

“Tekad saya adalah mahu menolong semua orang tidak kira bangsa Melayu, Cina dan India. Sesiapa sahaja saya dengar ada masalah seperti menghidap penyakit serius dan memerlukan kos yang tinggi saya akan membantu menguruskan kos rawatan itu,” kata Pengerusi One Hope Charity and Welfare Berhad itu ketika ditemu bual Bernama di pejabatnya baru-baru ini.

Chua, 45, berkata beliau pernah disogok pertanyaan dan persoalan oleh segelintir pihak mengapa harus membantu kaum lain selain kaumnya (Cina) sedangkan setiap kaum mempunyai persatuan kebajikan masing-masing yang boleh membantu insan kesusahan.

“Perkara ini tidak (berlaku) di One Hope Charity and Welfare Berhad, bukan prinsip saya untuk hanya membantu satu kaum sahaja. Saya tidak kira bangsa, nak tolong orang, siapa-siapa pun boleh, maka seawal penubuhan pusat kebajikan ini saya sudah buat keputusan tidak boleh memilih bangsa. Ini kerana kita semua Cina, Melayu, India ibarat satu keluarga kerana kita rakyat Malaysia,” katanya.

Mendapat sokongan padu daripada keluarga dan isteri tercinta, Chua berkata idea untuk menubuhkan One Hope Charity and Welfare Berhad tercetus apabila melihat nasib mereka yang sedang menderita sakit dan tidak mempunyai wang atau dana yang mencukupi untuk melakukan rawatan dan pembedahan.

“Tujuh belas tahun yang lalu, saya sering tengok kebanyakan pesakit, mereka tidak ada dana, jadi ambil masa nak jalankan pembedahan. Kita maklum, ada pesakit yang tidak boleh tunggu lama, perlu segera jalani pembedahan, jadi saya tubuhkan pusat kebajikan ini untuk membantu mereka mendapatkan dana seterusnya melaksanakan segera segala rawatan dan pembedahan,” katanya.

Sepanjang mengendalikan pusat kebajikan itu, Chua berkata beliau berasa puas dan gembira apabila melihat ramai pesakit yang dahulunya menderita kini ceria dan semakin sihat menjalani kehidupan bersama insan tercinta.

“Kebanyakan pesakit yang menerima bantuan daripada kami akan kembali ke sini, saya rasa sangat puas dan gembira apabila melihat seorang bayi yang dahulunya sakit, kini sudah boleh berlari seperti kanak-kanak riang yang lain. Ada juga yang datang kerana masalah telinga tetapi kini sudah mendengar semula,” katanya.

Sebagai perancangan masa hadapan, Chua menyasarkan untuk membuka sebuah hospital kebajikan dalam tempoh lima atau 10 tahun akan datang.

— BERNAMA





Source link