SESEBUAH negara disifatkan mempunyai sekuriti makanan apabila individu, isi rumah atau semua rakyatnya boleh mendapat makanan yang cukup, selamat dan berkhasiat untuk hidup sihat dan aktif. Ia merangkumi empat dimensi termaksuk ketersediaan, kebolehcapaian, penggunaan dan kesetabilan bekalan makanan. Melihat daripada skop ini, secara umumnya negara kita tiada masalah sekuriti makanan di mana Malaysia berada di kedudukan ke-40 dari 113 negara oleh Global Food Security Index 2018. Bagaimanapun isu yang dibimbangi adalah ketidakpastian kestabilan bekalan makanan kerana kadar sara diri yang tidak mencukupi, import bersih yang semangkin meningkat dan corak permintaan makanan yang sentiasa berubah citarasa.

Malaysia masih lagi mempunyai kadar sara diri yang rendah bagi makanan asas seperti beras (72%), daging lembu (28%), daging kambing (10%), susu (5%), buah-buahan (66%) dan sayur-syuran (39%). Kesannya negara kita menjadi pengimport bersih makanan dengan defisit imbangan perdagangan yang meningkat dari tahun ke tahun. Contohnya, pada tahun 1990, defisit imbangan perdagangan makanan adalah RM1.1 billion. Pada tahun 2006, ia telah meningkat kepada RM8.5 billion, dan RM 18.1 bilion pada tahun 2015, disebabkan oleh peningkatan import yang lebih tinggi, sebanyak purata 10.6% setahun dari tahun 1990 – 2015. Pada masa yang sama, peningkatan eksport adalah sebanyak purata 7.8% setahun.

Melihat kebolehcapaian makanan, secara purata isi rumah membelanjakan sebanyak 30.3% pendapatan mereka kepada makanan. Peratus yang tinggi ini memberi implikasi bahawa mereka yang berpendapatan rendah akan terjejas apabila harga makanan naik dengan mendadak dan tidak menentu.
 
Memandang ke hadapan, bagi menjamin bekalan makanan yang mencukupi dengan kualiti, khasiat dan citarasa yang dikehendaki serta harga yang mampu beli, sekuriti makanan tidak boleh dilihat daripada segi keuntungan pelaburan semata-mata, tetapi daripada sudut pulangan sosial. Dalam hal ini pulangan daripada insentif kerajaan serta pelaburan dalam sektor makanan adalah keamanan dan kedaulatan negara.

Dalam usaha untuk mengurangkan insiden kekurangan bekalan makanan, beberapa polisi boleh dipertimbangkan dalam membangunkan rangka kerja strategi sekuriti makanan yang komprehensif dari segi ketersediaan, kebolehcapaian, penggunaan, dan kestabilan makanan seperti berikut:

Ketersediaan makanan – ketersediaan makanan merangkumi aspek pengeluaran makanan dalam negeri, import makanan dan eksport dan stok makanan domestik.

1. Sektor pengeluaran makanan perlu dibangunkan menjadi sektor yang moden, berdaya saing dan komersil. Ini boleh dicapai dengan meniru model pengeluaran tanaman industri. Untuk merangsang pelaburan, insentif kepada sektor swasta mesti dirumuskan dengan cara pulangan pelaburan dalam pengeluaran makanan setanding dengan tanaman industri, seperti pelaburan kelapa sawit;

2. Membangunkan usahawantani melalui Program Inkubasi Usahawan seperti di UPM. Para peserta dipilih terutamanya daripada kalangan pemegang ijazah dalam bidang pertanian yang mempunyai kecenderungan terhadap keusahawanan. Mereka diinkubasi selama enam bulan di mana pada akhir tempoh inkubasi, peserta yang berjaya akan mempunyai perniagaan pengeluaran makanan masing-masing;

3. Melaksanakan dasar guna tanah untuk meningkatkan pengeluaran makanan melalui penyisihan kawasan tanah pertanian khusus untuk penghasilan makanan dan sumber pemakanan lain;

4. Melaksanakan program khas yang akan meningkatkan produktiviti dengan tujuan untuk mengurangkan kos dan meningkatkan dan menstabilkan pengeluaran dan pendapatan golongan miskin. Program sedemikian termasuk meningkatkan akses pengeluar kecil kepada input pertanian, kredit dan perkhidmatan penting lain serta pasaran. Peranan koperasi dalam meningkatkan pendapatan petani perlu ditekankan;

5. Proses perbandaran yang pesat telah menarik kemiskinan dan isu sekuriti makanan ke bandar, memandangkan bahawa penghuni bandar adalah pembeli makanan bersih dan bergantung pada pendapatan untuk mengakses makanan. Mempromosikan pertanian bandar akan dapat mengurangkan perbelanjaan makanan isi rumah bandar.

6. Pada asasnya fungsi bidang pertanian adalah sebagai pembekal makanan, pekerjaan dan pendapatan. Walau bagaimanapun, fungsi tersebut telah berubah dalam konteks perubahan iklim, kemusnahan alam sekitar, kekurangan sumber dan keprihatinan sejagat terhadap sekuriti  makanan. Tema baharu pertanian melampaui fungsi dasarnya, tetapi untuk meningkatkan pemuliharaan sumber, persekitaran dan mengurangkan kadar kemiskinan. Justru sektor pertanian perlu dinilai bukan sahaja dari segi pembekal makanan tetapi juga pelbagai fungsinya terutama perkhidmatan alam sekitar;

7. Memperkasakan penyelidikan dalam pengeluaran dan pengendalian makanan, kepelbagaian tanaman dan genetik serta pemprosesan dan pemasaran. Penyelidikan juga perlu dilakukan terhadap pengendalian makanan isi rumah bagi memastikan ketersediaan makanan yang mencukupi dan untuk melindungi nilai pemakanan dan mencegah pembaziran makanan; dan

8. Memperkasakan penyelidikan berkaitan penunjuk kos efektif untuk mengukur masalah sekuriti makanan isi rumah dan mengukur kemajuan beberapa program dalam menyelesaikan masalah ketidak sekuriti makanan.

Kebolehcapaian makanan – merujuk kepada sumber pendapatan isi rumah untuk mendapatkan makanan dalam kuantiti, kualiti dan kepelbagaian yang mencukupi untuk diet berkhasiat.

1. Menstabilkan bekalan makanan melalui stok makanan yang mencukupi dalam bentuk rizab strategik sekuriti makanan sebagai benteng pertama dalam kecemasan;

2. Data daripada SWCorp Malaysia menunjukkan bahawa rakyat Malaysia secara amnya mengeluarkan 38,000 tan sisa setiap hari, dan daripada timbunan itu, kira-kira 15,000 tan adalah sisa makanan. Sekitar 8,000 tan, atau 60%, makanan yang terbuang setiap hari adalah sisa makanan yang boleh dielakkan (merujuk kepada pelupusan makanan yang boleh dimakan seperti kerak roti, tepung jus dan sebagainya). Daripada 8,000 tan, kira-kira 3,000 tan sebenarnya masih boleh dimakan. Jumlah ini boleh memberi makan kira-kira dua juta orang. Justru promosi untuk menggalakkan penggunaan makanan secara lestari akan mengurangkan pembaziran makanan; dan

3. Meningkatkan dan memperbanyakkan lagi program jaringan keselamatan sekuriti makanan terutamanya melalui Bank Makanan;

Pengunaan makanan – memerlukan persekitaran fizikal yang sihat dan kemudahan kebersihan yang mencukupi serta pemahaman dan kesedaran tentang penjagaan kesihatan, penyediaan makanan, dan proses penyimpanan makanan yang selamat untuk dimakan.

Keselamatan makanan dapat ditingkatkan menerusi pendidikan bagi meningkatkan pengetahuan dalam pemilihan diet yang selamat dan mencukupi serta teknik penghasilan, pemprosesan, penyimpanan dan pengendalian makanan di semua peringkat di sepanjang rantaian bekalan makanan, khususnya tahap isi rumah.

Kestabilan bekalan makanan – merujuk kepada kesetabilan bekalan makanan di peringkat isi rumah tetap berterusan sepanjang tahun dan dalam jangka masa panjang. Ini termasuk makanan, pendapatan dan sumber ekonomi. Tambahan pula, adalah penting untuk meminimumkan risiko luaran seperti bencana alam dan perubahan iklim, ketidakstabilan harga, konflik atau wabak melalui aktiviti dan pelaksanaan meningkatkan daya tahan isi rumah.

Berbanding dengan sektor perindustrian, pertanian terdedah kepada banyak lagi risiko dan ketidakpastian yang tidak susah diramalkan. Oleh itu pengurusan risiko pasaran perlu dibangunkan, seperti pemantauan dan ramalan harga, untuk mengurangkan risiko dalam pengeluaran makanan. Perancangan kesediaan kecemasan melalui amaran awal yang berkesan serta memperkenalkan langkah-langkah untuk mencegah bencana alam, seperti skim pengairan dan skim kawalan banjir juga perlu diwujudkan.

Sebagai kesimpulan, untuk bergerak ke hadapan, untuk mengurangkan impak ketidakpastian jaminan bekalan makanan kepada negara dan isi rumah, dasar makanan harus memberi tumpuan kepada pelaburan yang lebih besar dalam ketersediaan makanan, kebolahcapaian, penggunaan dan kestabilan bekalan makanan.


* Penulis ialah Pakar Pertanian Negara dari Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia.

** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendapat sidang redaksi Astro AWANI. 





Source link