KUALA LUMPUR: Seorang wanita yang mengaku bergelar ‘Datin’ telah menampar pengawal keselamatan selepas dipercayai berang kerana diarah turun ke lobi kediamannya untuk mengambil makanan yang ditempah melalui perkhidmatan penghantar makanan petang Khamis.

Kejadian berlaku sekitar jam 4.21 petang di sebuah kondominium di Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Kuala Lumpur.

Insiden itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) lobi kediaman mewah berkenaan dan tular di media sosial.

Jawatankuasa Pengurusan Kondominium berkenaan, Hazri Mohd Zahri berkata, berdasarkan siasatan mendapati insiden berlaku berikutan wanita berkenaan dan pasangannya berang selepas terpaksa turun ke lobi bagi mengambil makanan yang ditempahnya secara dalam talian.

Menurutnya, peraturan kondominium menetapkan sesiapa yang membuat pesanan makanan atau apa-apa barang perlulah mengambil di lobi kerana orang luar tidak dibenarkan naik ke unit rumah sebagai langkah keselamatan.

“Difahamkan, wanita itu mengaku dirinya ‘Datin’ dan suaminya ‘Datuk’ sebelum mengarahkan pengawal keselamatan mengiringi penghantar makanan hingga ke rumahnya, namun petugas warga Nepal itu tidak berbuat demikian. Lagipun (mengiring penghantar makanan) itu bukan bidang tugas pengawal keselamatan.

“Kemudian wanita itu bersama seorang lelaki terpaksa turun ke lobi mengambil makanan dan sebelum beredar, dia menampar salah seorang pengawal keselamatan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Hazri berkata, tindakan wanita itu menampar pengawal keselamatan adalah sangat tidak bermoral.

“Walaupun pengawal keselamatan itu tidak cedera, namun dia tidak sewajarnya ditampar apatah lagi dia tidak melakukan apa-apa kesalahan.

“Penghuni kondominium sepatutnya mematuhi peraturan yang ditetapkan dan tidak berbuat sewenang-wenangnya,” katanya.

Tambahnya, satu laporan polis berkenaan insiden itu akan dibuat hari ini.

Berdasarkan video berdurasi 39 saat itu, pengawal keselamatan terlibat tidak melawan selepas ditampar, sebaliknya memegang pipinya yang dipercayai sakit akibat tindakan tersebut.





Source link