KUALA LUMPUR: Parti DAP mengesyorkan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk terus kekal memimpin negara sebagai Perdana Menteri.

Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata, syor berkenaan akan dicadangkan dalam mesyuarat tergempar Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) yang akan diadakan malam ini.

Pendirian DAP itu dibuat susulan berita peletakan jawatan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri pada Isnin.

Menurut Guan Eng, DAP secara prinsipnya mengutuk perbuatan khianat beberapa pemimpin PH yang cuba menubuhkan sebuah kerajaan melalui pintu belakang.

Tegas beliau, usaha menubuhkan kerajaan baharu itu jelas bertentangan dengan mandat yang diberikan oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke- 14 (PRU14) pada 2018.

Sementara itu, mengulas pertemuan dengan Dr Mahathir pagi ini, Guan Eng berkata, usaha mengasaskan kerajaan pintu belakang ditentang oleh Perdana Menteri. 

“Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri Malaysia menentang usaha khianat ini untuk cuba menolak mandat rakyat yang diberikan pada Pakatan Harapan dengan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi Bersatu.

“Saya berjumpa Tun (Mahathir) pagi ini dan diberitahu yang sesuatu luar dugaan apabila memaklumnkan hasrat untuk meletak jawatan,” kata Guan Eng dalam sidang media sejurus berakhir mesyuarat tergempar DAP di ibu pejabat parti berkenaan, di sini.

BACA: Tun Mahathir letak jawatan Perdana Menteri, Pengerusi Bersatu




Source link