[ad_1]

PUTRAJAYA: Mesyuarat Kabinet hari ini tidak membincangkan dakwaan bekas Perdana Menteri Australia, Tony Abbott bahawa pegawai kanan Malaysia percaya kemalangan pesawat MH370 merupakan suatu plot membunuh diri oleh juruterbangnya.

Malah, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, perkara itu juga tiada dalam agenda mesyuarat.

“Tidak dibincangkan… perkara itu tiada dalam agenda mesyuarat. Menteri Pengangkutan (anthony loke) kini berada di luar negara untuk menghadiri mesyuarat di Sweden,” kata Dr Wan Azizah dalam sidang akhbar Hari Wanita Kebangsaan Tahun 2020 di sini hari ini.

Loke kini berada di Stockholm bagi menghadiri persidangan global peringkat menteri mengenai keselamatan jalan raya ke-3.

Abbott dalam satu petikan dokumentari terbitan Sky News yang disiarkan semalam, mendakwa, ‘pemimpin kanan’ Malaysia percaya bahawa pesawat MH370 milik Penerbangan Malaysia sengaja ditenggelamkan oleh juruterbang pesawat dalam misi membunuh diri.

BACA: MH370: Kenyataan Abbott tidak adil kepada keluarga – Hishammuddin

Dakwa Abbott lagi, beliau diberitahu demikian selepas seminggu kejadian menggemparkan itu berlaku.

Pesawat MH370 yang membawa 239 penumpang dan kru ketika dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, (KLIA) ke Beijing, China ghaib pada 8 Mac 2014.



[ad_2]
Source link