[ad_1]

KUALA LUMPUR: Jabatan Penjara Malaysia (JPM) hari ini menafikan banduan Azilah Hadri pernah dibawa keluar untuk menemui VVIP, seperti didakwa sesetengah pihak.

Dalam satu kenyataan, jabatan itu berkata, banduan berkenaan tidak pernah dibawa keluar dari Penjara Kajang sejak 15 April, 2015.

“Kali terakhir penama (Azilah) dibawa keluar dari Penjara Kajang adalah pada 15 April 2015, bagi urusan menghadiri perbicaraan di Mahkamah Majistret Sepang.

“Pengiringan bagi menghadiri perbicaraan tersebut dilaksanakan setelah Penjara Kajang menerima Perintah Mengemukakan Orang Dalam Jagaan dari Mahkamah Sepang seperti mana di bawah Seksyen 30 Akta Penjara yang mengkehendaki banduan menghadirkan diri di mahkamah seperti mana masa dan tempat yang telah dinyatakan,” menurut kenyataan itu lagi.

Semalam, Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa Azilah telah dibawa keluar dari Penjara Kajang untuk bertemu seorang kenamaan (VVIP) Februari lalu.

BACA: Shafee dakwa Azilah dibawa keluar dari penjara Kajang jumpa VVIP 

BACA: Tun Mahathir hanya senyum, geleng kepala saat ditanya berhubung Azilah 

BACA: Kes bunuh Altantuya: Permohonan semakan difailkan Azilah didengar 20 April 

BACA: Kes bunuh Altantuya: Teks penuh akuan bersumpah Azilah Hadri

Menurut Jabatan Penjara Malaysia, rekod lawatan dan perjumpaan juga menunjukkan Azilah telah dilawati sebanyak 34 kali oleh keluarga, dan 15 kali oleh peguam beliau di Penjara Kajang, sejak setahun yang lepas.

“Lawatan ini dijalankan seperti mana Peraturan 179 Peraturan Penjara 2000 berkenaan lawatan kepada mana-mana banduan akhir.

“Oleh itu, sebarang kenyataan dari mana-mana pihak yang mengatakan Azilah bin Hadri telah dibawa keluar dari Penjara Kajang pada tahun ini untuk menemui VVIP adalah tidak benar sama sekali,” menurut jabatan itu lagi.



[ad_2]
Source link