[ad_1]

BAYAN LEPAS: Seorang lelaki warga Myanmar ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang selepas cubaan membawa masuk daging tikus kering ke negara ini.

Lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang dibantu Jabatan Kastam Diraja Malaysia di laluan ketibaan antarabangsa pada pukul 8 malam tadi.

Menurut Pengarah Maqis Pulau Pinang, Zarina Ramli berkata pemeriksaan bagasi lelaki berkenaan membawa kepada penemuan daging tikus kering seberat 780 gram.

“Tujuan sijil kesihatan veterinar ini adalah untuk memastikan barangan daging tersebut bebas penyakit dan virus,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, dalam pemeriksaan berasingan, pihaknya turut merampas buah mangga harumanis seberat 59.8 kilogram yang dipercayai dibawa dari negara Thailand.

Ia selepas pemeriksaan terhadap penumpang berkenaan mendapati tiada dokumen yang sah seperti permit import dan sijil fitosanitasi disertakan.

“Tujuan larangan pengimportan ini bagi menghalang risiko kemasukan serangga perosak seperti kumbang pengorek buah mangga ke Malaysia dan merosakkan industri mangga negara.

“Selain daripada larangan pengimportan, kemasukan buah mangga oleh penumpang di laluan udara juga adalah dilarang,” katanya.

Beliau berkata,perbuatan mengimport keluaran pertanian tanpa permit sah daripada Maqis menjadi kesalahan di bawah Seksyen 11 (1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

Jika sabit kesalahan boleh didenda di bawah Seksyen 11(3) iaitu denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

Maqis jelasnya, sentiasa mengambil langkah lebih serius bersama agensi penguatkuasaan di sempadan dalam membendung sebarang kemasukan perosak yang boleh mengancam pertanian negara.



[ad_2]
Source link