SHAH ALAM: Seorang pegawai perubatan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa terdapat kesan haba pada tubuh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Nazrin Hassan, yang dijumpai mati dalam kebakaran di rumah mangsa, pada 14 Jun 2018.

Saksi pendakwaan ke-26, Dr Nur Shafaradila Shamsul Anuar, 32, yang merupakan pegawai perubatan di Hospital Sungai Buloh berkata kesan haba yang ditemukan pada tubuh Nazrin menunjukkan mangsa tidak bergerak ketika kebakaran berlaku di bilik tidur tingkat atas kediaman terbabit.

Beliau berkata demikian ketika memberi keterangan berhubung kes kematian Nazrin di hadapan Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman.

“Saya melihat jasad mangsa dalam keadaan terbaring dan nampak ada kesan terbakar di bahagian kepala dan badan.

Saya lihat badan mangsa juga lebih kepada terkena haba yang mana bukan kesan kebakaran tetapi kesan kepanasan. Kesan ini berlaku apabila mangsa tidak beralih (bergerak) ke tempat lain daripada punca api,” katanya.

Dr Nur Shafaradila berkata ketika beliau tiba di tempat kejadian kira-kira pukul 1.12 tengah hari, beliau melihat keadaan Nazrin sudah tidak bernafas selain keadaan tubuhnya keras dan pemeriksaan lanjut menunjukkan nadi mangsa tidak berdenyut.

“Saya membuat pemeriksaan nadi di kawasan leher kanan dan tangan sebelah kanan mangsa.

“Saya dapati tiada denyutan nadi dan saya sendiri sahkan mangsa sudah meninggal kira-kira 1.13 petang,” katanya ketika menjawab pertanyaan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Rohaida Che Hamid berhubung keadaan mayat Nazrin.

Dalam pada itu, Dr Nur Shafaradila turut mengakui tiada sebarang reaksi sedih mahupun terkejut yang dipamerkan isteri Nazrin, Samirah Muzaffar selepas dimaklumkan mangsa telah meninggal dunia.

“Isteri mangsa tidak menunjukkan apa-apa reaksi yang mana tidak nampak terkejut mahupun menangis.

Berdasarkan pengalaman saya, mereka yang kehilangan ahli keluarga terutamanya kehilangan suami atau isteri akan terkejut dan sedih apabila kejadian seperti itu berlaku, tetapi saya tidak nampak apa-apa reaksi pada isteri mangsa (Samirah),” katanya.

Samirah, 45, dan dua remaja lelaki, masing-masing berusia 17 dan 14 tahun, serta seorang wanita Indonesia yang masih bebas, Eka Wahyu Lestari, didakwa membunuh Nazrin di sebuah rumah di Mutiara Damansara antara 11.30 malam 13 Jun 2018 dan 4 pagi 14 Jun 2018.

Perbicaraan bersambung esok.

— BERNAMA




Source link