[ad_1]

BANGKOK: Kerajaan Thailand merancang membuka semula lebih banyak perniagaan dan aktiviti dengan mengurangkan larangan fasa dua pada minggu hadapan.

Ia berikutan situasi COVID-19 di Thailand yang terus bertambah baik dengan mencatatkan kes baharu harian pada kadar satu angka.

Thailand merekodkan tiga kes baharu dan sifar kematian pada Khamis menjadikan jumlah kes sebanyak 2,992 dan 55 kematian.

Dalam tempoh sama, sebanyak 2,772 orang telah sembuh dan dibenar pulang ke rumah.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA), Thaweesilp Wissanuyothin berkata kerajaan akan mempertimbangkan untuk mengurangkan larangan fasa dua, termasuk membuka semula premis lebih besar seperti pusat beli-belah dan gedung serbaneka.

Jelasnya, jika situasi terus mencatatkan kes baharu harian pada kadar satu angka, kerajaan akan mengurangkan lagi larangan serta membuka lebih banyak perniagaan dan tempat pada 17 Mei ini.

Beliau berkata CCSA akan mendapatkan maklum balas dan pandangan bermula Jumaat sehingga Selasa dan kelonggaran itu akan diumumkan pada Khamis depan.

Pada 3 Mei, Thailand membuka semula enam jenis perniagaan dan tempat iaitu pasar, kedai makan di luar pusat beli-belah, perniagaan borong dan runcit, taman dan fasiliti sukan di kawasan terbuka, kedai gunting dan salon rambut yang hanya terhad kepada menggunting rambut, syampu dan keringkan rambut serta pusat dan hotel haiwan peliharaan.

Sementara itu, Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) mengumumkan pasar minggu Chatuchak akan dibuka semula hujung minggu ini, namun, situasi itu akan dinilai semula pada setiap minggu.



[ad_2]
Source link