[ad_1]

KUALA LUMPUR: Larangan rakyat Malaysia untuk meninggalkan negara, seperti mana dinyatakan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan, turut meliputi mereka yang bekerja di Singapura dan Thailand, kata Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud.

Beliau berkata, ia akan berkuatkuasa mengikut tempoh yang ditetapkan di bawah pewartaan perintah itu, iaitu antara 18 hingga 31 Mac, 2020.

“Penjelasan – Larangan ke luar negara adalah termasuk pekerja rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dan Thailand,” katanya melalui aplikasi Whatsapp kepada Astro AWANI, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan bahawa perintah kawalan tersebut dibuat di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

“Situasi semasa wabak ini memerlukan tindakan drastik diambil bagi memulihkan keadaan secepat mungkin,” katanya lagi melalui perutusan khas mengenai situasi semasa COVID-19 pada Isnin malam.

BACA: COVID-19: Perintah Kawalan Pergerakan mulai 18 hingga 31 Mac – PM

Kementerian Tenaga Manusia (MOM) Singapura  dalam reaksi balas berkata, kerajaan republik itu akan bekerjasama dengan sektor awam dan swasta bagi menyediakan tempat penginapan sementara untuk pekerja dari Malaysia.

Dalam satu kenyataan media, MOM berkata, antara tempat penginapan yang sedang dalam pertimbangan melibatkan hotel dan dorm, bilik dan unit rumah di bawah seliaan Lembaga Pembangunan Perumahan (HDB), serta perumahan swasta.

MOM turut menggalakkan golongan pekerja terbabit untuk tinggal dengan saudara-mara, rakan, atau rakan sekerja yang bersedia menyediakan tempat penginapan sementara untuk mereka.

“Kami ingin menasihati majikan di Singapura untuk menilai tenaga kerja mereka dengan teliti, dan membuat keputusan yang bersesuaian mengenai pekerja mereka dari Malaysia.

“Kerajaan akan memberi keutamaan kepada syarikat yang menyediakan perkhidmatan penting seperti kesihatan, keselamatan, pembersihan, pengurusan bahan terbuang, pengurusan fasiliti, logistik dan pengangkutan,” katanya lagi.

MOM berkata, kerajaan akan turut berusaha mencari jalan untuk menyediakan bantuan kewangan kepada syarikat yang memerlukan.

“Objektif kami adalah untuk mengurangkan impak dalam penyediaan perkhidmatan kepada rakyat kami,” katanya lagi.



[ad_2]
Source link