[ad_1]

BANGKOK: Thailand melaporkan dua kes COVID-19 baharu dan tiada kematian dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan kes jangkitan virus berkenaan di negara itu kini berjumlah 3,033 dengan jumlah kematian kekal 56.

Jurucakap Pusat Pentadbiran COVID-19 Thailand (CCSA) Thaweesilp Wissanuyothin berkata dua kes itu melibatkan seorang wanita tempatan berumur 36 tahun dan seorang lelaki tempatan berumur 42 tahun, kedua-dua merupakan anggota keluarga seorang pesakit yang disahkan positif di wilayah selatan Narathiwat.

“Daripada 3,033 kes COVID-19 itu 52 peratus adalah dalam kalangan mereka yang menjalani ujian COVID-19 di hospital manakala 39 peratus lagi adalah mereka yang merupakan kontak rapat kepada pesakit yang disahkan positif,” katanya pada sesi taklimat harian berhubung COVID-19 di sini pada Selasa.

Menurutnya sehingga kini, 2,857 pesakit telah sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital, manakala 120 masih sedang dirawat.

Sementara itu Thaweesilp mengucapkan terima kasih atas kerjasama orang ramai yang menggunakan Thai Chana, aplikasi khusus untuk pengesanan kontak yang memerlukan peniaga serta pengunjung premis perniagaan mendaftar dan mengimbas kod QR sebelum masuk dan keluar dari premis perniagaan.

“Kerjasama baik ini akan membuka laluan lebih luas kepada usaha mengembalikan operasi lebih banyak sektor perniagaan.

Thailand memulakan fasa pertama melonggarkan perintah kawalan pergerakan pada 3 Mei lepas yang menyaksikan tiga jenis perniagaan dan premis dibuka kembali kepada orang ramai, manakala fasa kedua bermula pada 17 Mei.

— BERNAMA



[ad_2]
Source link