[ad_1]

SINGAPURA: Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) melaporkan 10 lagi kes positif COVID-19 dengan tiga daripadanya kes dari luar, menjadikan jumlah keseluruhan 160 kes.

Enam daripada tujuh kes mempunyai kaitan dengan majlis makan malam persendirian di SAFRA Jurong pada 15 Feb dan satu lagi kes berkaitan kluster di The Life Church and Missions Singapore.

MOH dalam satu kenyataan di sini berkata satu kes baharu dari luar membabitkan seorang lelaki warga Indonesia berusia 65 tahun yang tiba di Singapura pada 7 Mac dan hasil ujian mengesahkan beliau positif COVID-19 keesokan harinya.

Pesakit berkenaan kini ditempatkan di wad isolasi Hospital Besar Singapura (SGH), dilaporkan mula menunjukkan gejala pada 28 Feb ketika berada di Indonesia dan mendapatkan rawatan di sebuah hospital di Jakarta pada 2 Mac, kata MOH.

Sementara itu, seorang lagi pesakit kes dari luar membabitkan seorang wanita warga tempatan berusia 65 tahun, dilaporkan berada di Indonesia dari 25-28 Feb untuk melawat saudara perempuannya yang menghidap pneumonia dan kini ditempatkan di bilik isolasi SGH. Kes ketiga membabitkan seorang lelaki warga Britain berusia 52 tahun.

Menurut MOH, tiga lagi kes jangkitan COVID-19 telah dibenarkan keluar hospital hari ini, menjadikan keseluruhan 93 kes pulih sepenuhnya.

Daripada 67 kes yang masih dirawat di hospital, sebahagian besar dalam keadaan stabil atau semakin pulih manakala 10 lagi dirawat di unit rawatan rapi dalam keadaan kritikal.

Setakat tengah hari tadi, MOH mengenal pasti 3,784 kontak rapat yang kini dikuarantin.

— BERNAMA



[ad_2]
Source link