[ad_1]

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata beliau akan mencari calon lain untuk dilantik sebagai Timbalan Menteri Perpaduan Negara selepas Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing, menolak jawatan berkenaan.

Menerima keputusan Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) itu dengan hati terbuka, Muhyiddin berkata, beliau akan mengemukakan nama baharu kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Ia adalah pilihan beliau (Tiong). Yang di-Pertuan Agong sudah memberi perkenan tetapi jika beliau fikir tidak sesuai untuk apa jua sebab, kami akan terima (keputusan) itu.

“Sudah tentu saya perlu mencari orang lain yang akan dicalonkan kepada Agong untuk mengisi jawatan tersebut,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet pertama, di sini, pada Rabu.

Muhyiddin, bagaimanapun, berkata beliau akan bertemu dengan Tiong esok.

“Beliau (Tiong) menyatakan hasrat untuk terus berkhidmat kepada negara menerusi kapasiti lain,” katanya.

Semalam, media melaporkan Tiong tidak hadir ke majlis mengangkat sumpah jawatan di Istana Melawati di sini.

Setiausaha Agung PDP, Datuk Nelson Balang Rining dilaporkan berkata, majlis tertinggi parti itu bersetuju bahawa Tiong perlu menolak jawatan itu kerana ia tidak sesuai untuk presiden parti dan ahli Parlimen lima penggal itu. -BERNAMA



[ad_2]
Source link