BALING: Mohd Azmi Md Rejab, 57, lebih dikenali Pak Selamat merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) cacat penglihatan sejak dilahirkan.

Meskipun begitu, Azmi yang mempunyai jiwa kental membuktikan dia mampu hidup berdikari dengan membuka pusat urutan tradisional dan refleksologi bagi menyara keluarga termasuk lapan orang anak

Katanya dia menceburi bidang urutan secara serius sejak tahun 2000 lagi kerana menyedari tidak mampu melakukan kerja lain memandangkan pergerakannya terbatas.

“Pada awalnya, saya sering berulang alik mengambil upah mengurut di sebuah premis di Pulau Pinang, namun ia bertahan selama tiga tahun sahaja sebelum saya berhenti dan meneruskannya di rumah dan pasar malam di Kulim dengan pendapatan sebanyak RM20 semalam.

“Namun saya terpaksa berhenti ekoran kekangan perjalanan untuk ke sana (pasar malam di Kulim) dan dengan bimbingan serta modal geran pelancaran daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM2,000, saya membuka pusat urut di sini bersama isteri,” katanya ketika ditemui Bernama di sini baru-baru ini.

Azmi berkata perniagaan perkhidmatan urutan yang turut dibantu isterinya kini bertambah maju dengan mampu meraih pendapatan antara RM200 hingga RM300 sehari.

Katanya dia turut mendapat bantuan daripada Jabatan Tenaga Kerja bagi pembelian peralatan seperti kerusi urut, pendingin hawa serta mengubah suai premis bagi memberi keselesaan kepada pelanggan.

“Urutan tapak kaki dan tubuh baik untuk memulihkan pengaliran darah, merangsang dan memulihkan semula organ-organ dalaman. Bayaran yang dikenakan berpatutan antara RM20 hingga RM55 mengikut jenis dan tempoh urutan, setakat ini sambutan amat menggalakkan,” katanya.

Jelas Azmi selain itu dia juga menyediakan latihan kepada OKU lain serta turut menawarkan khidmat urutan di rumah jika diperlukan.

“Saya galakkan golongan OKU menceburi bidang urutan dan refleksologi ini kerana di mana saja kita berada, ia boleh dijadikan punca pendapatan, peluang masih terbuka kerana tak ramai lagi melibatkan diri dalam bidang ini,” katanya.

Dia kini bernaung di bawah Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia dan turut menjadi tenaga pengajar urutan peringkat kebangsaan.

Azmi juga dinobatkan penerima Anugerah Khas Usahawan OKU Cemerlang 2017 peringkat negeri.

Selain urutan, dia juga mempunyai bakat terpendam dengan menjadi pengacara di rumah kenduri dan program-program anjuran persatuan.

— BERNAMA





Source link