[ad_1]

PUTRAJAYA: Kaedah penjarakan sosial yang diamalkan sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bukan sahaja membantu membendung penularan wabak COVID-19.

Malah, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata keberkesanan kaedah tersebut juga turut menyebabkan penurunan penyebaran penyakit berjangkit yang lain terutamanya penyakit berjangkit yang disebar melalui sentuhan.

Antara penyakit berjangkit tersebut ialah penyakit tangan, kaki dan mulut, demam campak dan cacar air.

“Penurunan kes-kes tersebut adalah merupakan satu implikasi positif hasil pelaksanaan PKP dan PKPB yang turut dibantu oleh amalan kebersihan kendiri yang tinggi.

“PKP, amalan penjarakan sosial dan penjagaan kebersihan harus diteruskan bagi memastikan penyebaran COVID-19 serta penyakit berjangkit berlainan terus dapat dikawal,” katanya dalam sidang media harian di Putrajaya pada Jumaat.

Dalam perkembangan yang berkaitan, beliau berkata dengan pembukaan semula pelbagai sektor ekonomi dan sosial secara terkawal, amalan tersebut sewajarnya dipraktikkan dengan lebih kerap dan diterapkan kepada semua kumpulan umur.

“Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) akan memastikan pembukaan semula sektor ekonomi dan sosial dilaksanakan secara terkawal mengikut prosedur operasi standard (SOP).

“Peralihan ke arah budaya hidup, kelaziman dan norma baharu ini adalah sesuatu yang positif demi keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan masyarakat,” katanya.

BACA: COVID-19: Malaysia catat 1 lagi kematian, 19 kes positif baharu

Terdahulu, beliau mengesahkan terdapat satu lagi kes kematian akibat COVID-19, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di Malaysia sebanyak 116 kes.

Setakat 12 tengah hari Jumaat, katanya, terdapat 19 kes positif baharu dan ia menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di negara ini sebanyak 8,266 kes.



[ad_2]
Source link