NEW DELHI: Seorang kanak-kanak berusia empat tahun meninggal dunia selepas lehernya terjerut pada tali layang-layang yang dilapisi serpihan kaca ketika menunggang motosikal dengan bapanya.

Dalam insiden pada Sabtu, mangsa dan bapanya dilaporkan dalam perjalanan ke kuil sebelum lehernya terkena tali layang-layang disalut kaca yang merintangi jalan, lapor Times of India.

Insiden itu telah menyebabkan leher mangsa luka parah dan menyebabkan kematiannya.

Kejadian yang berlaku di New Delhi, India itu merupakan insiden kedua minggu ini.

Jumlah kematian dan kecederaan dilaporkan meningkat sekitar Hari Kemerdekaan yang disambut India pada 15 Ogos apabila masyarakat secara tradisinya menerbangkan layang-layang yang dicat dengan warna bendera India.

Selain tu, peserta sukan juga menggunakan tali bersalut logam atau serpihan kaca bertujuan memutuskan benang layang-layang lawan di udara.

Terdahulu, seorang jurutera berusia 28 tahun di Delhi meninggal dunia pada Hari Kemerdekaan apabila lehernya cedera terkelar tali layang-layang ketika menunggang motosikal.

Kerajaan Delhi tiga tahun lalu telah mengeluarkan larangan terhadap pengeluaran, penjualan dan penyimpanan tali kaca susulan beberapa kejadian seumpamanya.

Menurut laporan media tempatan, mereka yang ditangkap boleh dikenakan hukuman penjara lima tahun dan denda 100,000 rupee (kira-kira RM600) jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, beberapa kejiranan di sekitar New Delhi terus menjual tali kaca berkenaan walaupun larangan dikeluarkan.





Source link