[ad_1]

KALABAKAN: Seekor buaya sepanjang lebih empat meter yang dipercayai menyerang dan membaham seorang lelaki, Sukrien Jesman Yusoff, 24, di Sungai Kalabakan pada 3 Julai lalu berjaya ditangkap hari ini.

Tangkapan itu berjaya dilakukan selepas perangkap dan pancing buaya dipasang Jabatan Hidupan Liar (JHL) Tawau antara 5 hingga 15 Julai lalu di beberapa lokasi di sungai berkenaan.

Pegawai JHL Tawau, Sailun Aris berkata, haiwan itu ditangkap selepas memakan umpan yang baru dipasang di sungai Kampung Tanjung Sapi, Rabu lepas.

“Pemeriksaan yang dibuat anggota JHL hari ini menemukan seekor buaya yang sudah mati tersangkut pada mata pancing kira-kira jam 1.30 tengah hari tadi.

“Berdasarkan keadaan fizikal, kami percaya bangkai buaya berkenaan sudah mati dalam tempoh lebih daripada 24 jam.

“Pihak kami turut memaklumkan tangkapan bangkai buaya berkenaan kepada ahli keluarga mangsa,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Tambahnya, sebagai menghormati permintaan ahli keluarga mangsa, bangkai reptilia itu kemudiannya dibelah dan menemukan sisa tulang tangan manusia dipercayai milik mangsa.

“Sisa tulang itu kemudiannya diserahkan kepada ahli keluarga mangsa untuk tujuan pengebumian,” katanya.

JHL tidak menolak kemungkinan reptilia berkenaan juga telah menyerang seorang wanita, Nur Hayati Talib, 50 dalam kejadian pada pada 25 Jun lalu - Foto ihsan JHL

Ujarnya lagi, pihaknya tidak menolak kemungkinan reptilia berkenaan juga telah menyerang seorang wanita, Nur Hayati Talib, 50 dalam kejadian pada pada 25 Jun lalu selain beberapa lagi kes serangan buaya dilaporkan sebelum ini.

Katanya, bangkai buaya itu kemudiannya ditanam tidak jauh dari kawasan tebing sungai di situ oleh anggota JHL dengan bantuan penduduk kampung.



[ad_2]
Source link