Buat amal jangan harap disanjung tetapi untuk ganjaran di akhirat - Mufti 1

KANGAR: Umat Islam disaran sentiasa berbuat amal baik bukan untuk disanjung dan dikenang tetapi atas matlamat mendapat ganjaran di akhirat kelak.

Mufti Perlis Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata justeru seseorang yang banyak menabur bakti dengan pelbagai amalan baik jangan kecewa jika segala jasa dan sumbangan mereka cepat dilupai.

“Apa yang penting setiap amalan baik yang diberi adalah ikhlas dan ganjaran paling besar adalah pahala di sisi Allah SWT setelah kita meninggal dunia kelak,” ujar beliau.

Mohd Asri menyatakan demikian semasa menyampaikan ceramah mingguannya di Masjid Alwi di sini malam tadi.

Oleh itu beliau menasihatkan mereka yang berkemampuan supaya jangan patah semangat untuk memberi sumbangan bakti kepada mereka yang memerlukan daripada rezeki yang mereka perolehi.

Menurut Asri seseorang yang dilimpahi rezeki banyak dan hidup kaya raya tidak menjamin mereka akan melalui kehidupan dengan sempurna segalanya.

Ada di antara mereka terpaksa berpantang makan kerana mengidap berbagai jenis penyakit, ada yang menghadapi masalah keluarga dan pelbagai masalah lagi menyebabkan hidupan harian mereka tidak tenteram.

“Justeru pergunakanlah rezeki yang diperolehi untuk membuat amal bakti semoga mendapat ketenangan dan setiap amal baik yang dilakukan jangan sama sekali mengharap untuk dipuji dan dikenang,” tegasnya.

— BERNAMA





Source link