KUALA LUMPUR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor mengesahkan keadaan persekitaran di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pasir Putih di Pasir Gudang adalah selamat daripada sebarang pencemaran udara.

Menurut Pengarah JBPM Johor, Datuk Yahaya Madis, pihaknya telah menjalankan pemeriksaan secara menyeluruh di kawasan sekolah terbabit dan tidak mengesan gas berbahaya.

“Semalam (Rabu), bomba menerima panggilan kecemasan dan membantu Jabatan Kesihatan untuk mengurus para pelajar yang mengalami gangguan kesihatan itu.

“Kami menghantar pasukan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) untuk mengesan sekiranya ada pencemaran udara dengan menggunakan alat pengesan gas.

“Setelah diperiksa, kami tidak menemui atau mengesan sebarang gas berbahaya di kawasan tersebut dan pemeriksaan telah dijalankan di kesemua kelas di sekolah itu,” katanya kepada Astro AWANI ketika dihubungi hari ini.

Pada Rabu, seramai 33 pelajar dari sekolah berkenaan mengalami gangguan kesihatan, muntah dan loya ketika sesi persekolahan.

Difahamkan, mereka yang terkesan telah terhidu bau busuk yang kuat sejak jam 8.30 pagi dan kesemua mereka telah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Mengulas lanjut, Yahaya berkata berkemungkinan bau busuk yang dihidu pelajar tersebar melalui angin di kawasan itu.

“Mungkin berlaku sekejap dan mengikut angin tetapi ketika bomba sampai, bau yang dikatakan itu telah tiada, setelah kami menggunakan alat pengesan dan sebagainya.

“Ketika ini, pihak bomba sedang menjalankan pemantauan dan dalam keadaan bersedia bagi memastikan keselamatan warga sekolah itu terjamin,” jelasnya.





Source link