[ad_1]

JAKARTA: Bekas pemain badminton Indonesia Taufik Hidayat mengakui telah menjadi ‘orang tengah’ dalam kes rasuah membabitkan bekas Menteri Sukan dan Belia negara itu, Imam Nahrawi, yang pernah berkhidmat dari 2014 ke 2019.

Memetik laporan Antara News, bintang badminton yang pernah meraih pingat emas pada Olimpik 2004 di Athens itu membuat pengakuan berkenaan ketika memberikan keterangan di mahkamah di sini pada Rabu.

Imam dituduh oleh Pendakwa raya Pesuruhjaya Pembasmian Rasuah (KPK)  Indonesia atas kesalahan menerima wang rasuah bernilai Rp11.5 bilion  (RM3 juta) serta pemberian dalam bentuk lain bernilai Rp8.6 billion (RM2.5 juta) daripada pegawai-pegawai pelbagai kementerian dan Majlis Sukan Indonesia (KONI).

Dalam keterangannya Taufik berkata dia membantu menyampaikan Rp1 bilion (RM290,000) kepada pembantu peribadi menteri itu, Miftahul Ulum pada Januari 2018.

“Saya diminta untuk membantu menerusi panggilan telefon. Saya setuju, namun saya tidak memberitahu kepada Pak Imam bahawa saya telah memberi wang tersebut kepada Ulum,” kata Taufik di mahkamah.

Menurut dakwaan KPK, wang rasuah tersebut adalah daripada Tommy Suhartanto, Pengarah Perancangan dan bajet Satlak Prima, sebuah program sukan buat atlet elit yang dibubarkan pada 2018.

Tommy didakwa meminta seorang pegawai Satlak Prima, Edward Taufan Pandjaitan untuk menyediakan wang tersebut.

Edward kemudian memberi wang tersebut kepada pembantu pengarah kewangan Satlak Prima, Reiki Mamesah, yang kemudiannya memberi wang itu kepada Taufik yang merangkul jawatan Timbalan Pengerusi program itu pada 2016-2017.

Kemudian, wang itu diserahkan kepada Miftahul di rumah Taufik di Jakarta Selatan.

Wang itu dipercayai bagi mempercepatkan proses kelulusan dan pengeluaran wang peruntukan dari kementerian terbabit.

Sebelum persaraannya pada 2013, Taufik meraih 16 pingat emas sepanjang kariernya, termasuk di Olimpik pada 2004 di Athens dan Kejohanan Badminton Dunia pada 2005 di Anaheim.



[ad_2]
Source link