ALOR SETAR: Seramai 18 pelajar Ma’ahad Tahfiz Imam Al Jahzari di Jalan Bunga Raya 6, dekat Tongkang Yard, Alor Setar terselamat kerana sempat berlari keluar apabila bangunan asrama mereka musnah dalam kebakaran.

Kesemua pelajar lelaki di pusat tahfiz itu berjaya melarikan diri ketika api sedang marak dalam kejadian yang berlaku pada jam 8.50 malam tadi itu.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain memaklumkan, pihaknya menerima panggilan pada jam 8.59 malam berhubung kebakaran tersebut.

“Sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja yang diketuai Pegawai Bomba Mohd Zabidi Abu Hassan bersama sepasukan anggota tiba di lokasi jam 9.05 malam.

“Operasi turut dibantu sepasukan anggota BBP Alor Setar bersama tiga jentera termasuk sebuah Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS),” jelasnya.

Katanya, kebakaran membabitkan sebuah bangunan dua tingkat.

“Kemusnahan membabitkan sebahagian bangunan itu dan kebakaran dapat kawal pada jam 9.12 malam dan tindakan BBP Jalan Raja adalah dengan memadam kebakaran dengan satu aliran dua pancutan, dan turut dibantu pasukan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) yang berdekatan,” katanya lagi.

Mohamadul Ehsan berkata, Pasukan BBP Alor Setar memberi bantuan air (relay) dan kebakaran membabitkan tempat tidur pelajar.

Tambahnya, punca dan kerugian masih dalam siasatan dan tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.





Source link