KUALA KRAI: Seekor ular tedung selar seberat 15 kilogram (kg) cuba memasuki sebuah rumah penduduk di Kampung Peria Lama di sini malam tadi.

Menurut warga emas, Che Mat Majid, dia terkejut apabila menyedari reptilia itu cuba menceroboh rumahnya menerusi pintu hadapan.

Bagaimanapun, reptilia itu tidak dapat masuk kerana ukuran kepalanya tidak melepasi celahan pintu rumah.

“Ular itu berada di bahagian bawah rumah saya. Melihat kepada saiznya, saya tidak berani untuk mengusir atau bertindak sendiri.

“Lalu, saya menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk membantu menangkap haiwan itu,” katanya.

Sementara itu, Pegawai APM Daerah Kuala Krai, Kapten (PA) Mohd Hanif Omar berkata, pihaknya menerima panggilan dari orang awam pada jam 7.30 malam.

Katanya, tiba di lokasi pada jam 7.45 malam, anggota menjalankan kerja-kerja menangkap ular sepanjang 3.2 meter itu dan mengambil masa 15 minit.

“Kita menasihati penduduk agar lebih peka dengan keadaan sekeliling rumah dan meninjau kawasan termasuk bawah rumah yang berstruktur kayu,” katanya.





Source link