[ad_1]

KUCHING: Seekor beruang matahari yang dikurung di sebuah kediaman di Demak Laut, Kuching, berjaya diselamatkan oleh pasukan penguatkuasaan Sarawak Forestry Corporation (SFC) pada Rabu.

Ia berikutan aduan orang awam yang memuat naik foto haiwan terlindung itu di media sosial baru-baru ini.

SFC dalam kenyataannya hari ini memaklumkan bahawa pemeriksaan dijalankan di premis pemilik, walaupun lesen untuk memelihara beruang matahari telah dikeluarkan oleh Pengawal Kehidupan Liar, Jabatan Hutan Sarawak (FDS).

Bagaimanapun pemilik didapati telah melanggar syarat-syarat tertentu lesen tersebut.

Susulan itu, Swift Wildlife Action Team (SWAT) telah dihantar untuk menyelamatkan mamalia berkenaan dan ditempatkan di Pusat Hidupan Liar Matang untuk pemeriksaan perubatan dan pemulihan.

BACA: Beruang matahari dipelihara dalam kurungan undang pelbagai reaksi

Beruang matahari dilindungi di bawah Ordinan Perlindungan Hidupan Liar Sarawak, 1998, di mana membunuh, memelihara, menjual, membeli haiwan atau derivatifnya adalah dilarang oleh undang-undang dan jika didapati bersalah, pelaku boleh dipenjarakan selama satu tahun dan didenda RM10,000.

Ketua Pegawai Eksekutif SFCSB, Zolkipli Mohamad Aton turut mengingatkan sesiapa yang menjaga haiwan yang dilindungi sepenuhnya atau dilindungi secara haram mesti menyerahkannya kepada pihak berkuasa sebelum tindakan diambil terhadap mereka.

SFC turut merakamkan penghargaan kepada orang ramai yang telah membantu pihak berkuasa membanteras perdagangan hidupan liar serta pembalakan haram di Sarawak.



[ad_2]
Source link