TUARAN: Ketua Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor menanam hasrat untuk menjadikan parti itu sebagai parti dominan di negeri itu.

Beliau berkata, impian berkenaan adalah berdasarkan platform Bersatu yang mula diterima orang ramai di Sabah.

Menurut Hajiji, isu yang tidak mendatangkan faedah akan merugikan kesemua pihak serta membantutkan usaha memajukan Sabah dan penyatuan kaum di negeri tersebut.

“Saya rasa setiap parti mahu kuat, jadi Bersatu juga tidak terkecuali. Sebagai parti komponen Pakatan Harapan yang diterajui Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, harapan saya sebagai Ketua Bersatu negeri, kita mahu kuatkan parti untuk kebaikan negeri Sabah, untuk kebaikan kerajaan negeri yang dipimpin Parti Warisan dan lain-lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan Seminar Armada  Harapan Negara, di Tuaran, pada Ahad.

Hadir sama adalah Ketua Armada Sabah, Mohd Isquzawan Israq Arsit dan Ketua Armada Bahagian Tuaran, Mohd Ghazali Hajiji.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai beberapa isu melibatkan politik di Sabah termasuklah mengenai kontroversi melibatkan video tular Ketua Menteri, baru-baru ini, Hajiji enggan membuat sebarang komen mengenainya.

Bagaimanapun, beliau memberi bayangan pihaknya sentiasa memberi kerjasama dengan Kerajaan Negeri yang dinaungi Parti Warisan Sabah (Warisan) demi kebaikan rakyat di negeri ini.

“Sebagai parti dalam komponen PH akan beri kerjasama dengan Kerajaan Negeri, Parti Warisan untuk memberi fokus perancangan-perancangan kerajaan yang  beri kebaikan kepada rakyat  dan perpaduan kaum di Sabah,” katanya.

Terdahulu, Hajiji dalam ucapan perasmiannya berkata, daerah Tuaran merupakan salah sebuah cawangan yang teramai ahlinya di seluruh negara dengan mencecah seramai 7,000 orang.

Tambahnya, perkara itu diakui oleh pucuk pimpinan parti berkenaan dan sekaligus menandakan Bersatu semakin diterima di negeri Sabah.

Dalam majlis tersebut, turut  diadakan upacara penyerahan borang ahli baharu dengan seramai 910 individu menyertai Armada Bersatu Bahagian Tuaran.





Source link