[ad_1]

ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Isnin, 8 Jun 2020.

1) Kes positif cecah 7 juta selepas enam bulan COVID-19 mengancam dunia

Kes jangkitan COVID-19 di seluruh dunia kini melepasi angka 7 juta pagi ini. Kira-kira 2 juta atau 30 peratus kes tersebut direkod di Amerika Syarikat, manakala negara Amerika Latin mencatatkan kes positif kedua terbesar dengan jumlah lebih 15 peratus.

2) COVID-19: New Zealand catat sifar kes aktif dengan pesakit terakhir pulih

Tiada sebarang kes aktif COVID-19 dicatatkan New Zealand susulan pesakit terakhir di negara itu disahkan sembuh dan dilepaskan daripada pengasingan. Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan pada Isnin, kes sembuh terakhir itu dipercayai melibatkan seorang wanita berusia 50-an yang dikaitkan dengan kluster rumah penjagaan di Auckland.

3) COVID-19: Tiada jangkitan tempatan selama 14 hari di Thailand

Thailand bebas daripada jangkitan tempatan COVID-19 selama 14 hari dan mencatatkan tujuh kes baharu, kesemuanya merupakan rakyatnya yang kembali dari luar negara dan dikuarantin selama 14 hari dengan tiada kematian dilaporkan dalam tempoh 24 jam lepas.

4) Penunjuk perasaan di London ingin perubahan, reformasi besar

Protes menentang keganasan terhadap etnik kulit hitam bertukar ganas di London. Menurut laporan Reuters, 27 anggota polis cedera dalam ketegangan dengan penunjuk perasaan.

5) 10 minggu ditutup, India buka kembali sektor ekonomi termasuk sempadan negara

Selepas 10 minggu menjalani perintah berkurung, India akhirnya membenarkan rumah ibadat, restoran, koplkes beli belah dan sempadan negara dibuka semula meskipun negara tersebut melaporkan angka korban yang tinggi dalam satu hari.    

6) COVID-19: Mexico pinjam AS$1 bilion daripada Bank Dunia

Mexico membuat pinjaman berjumlah AS$1 bilion (kira-kira RM4.27 bilion) dari Bank Dunia susulan kesan akibat COVID-19 yang mula memberi tekanan kepada ekonomi negara itu. Kerajaan negara itu memohon pinjaman pada 19 Mei lalu bagi menangani kesan wabak dan mendapat lampu hijau daripada pemberi pinjaman antarabangsa itu pada 31 Mei lalu.

7) Usaha pembersihan 20,000 tan tumpahan minyak di sungai Siberia diteruskan

Usaha pembersihan di Siberia diteruskan selepas sekitar 20,000 tan bahan bakar diesel tumpah dari sebuah kemudahan penyimpan loji tenaga. Tumpahan itu berlaku pada Jumaat lalu di sebuah loji kuasa di bahagian terpencil di bandar Norilsk, di timur laut Moscow.

8) Taufan Tropika Cristobal badai pantai Louisiana, Florida

Taufan Tropika Cristobal yang membawa angin kencang dan puting beliung membadai pantai Louisiana di utara Florida, Amerika Syarikat sehingga menyebabkan pokok tumbang dan bekalan elektrik terputus. Orang ramai mula dipindahkan apabila ribut tersebut dilaporkan mula bergerak dari muara Sungai Mississippi dan kepulauan Grand Isle.



[ad_2]
Source link