[ad_1]

KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal akan meneliti secara mendalam cadangan untuk menjadikannya calon Perdana Menteri kesembilan.

Beliau berkata, perkara itu akan dibincangkan bersama barisan pemimpin partinya sebelum memberikan jawapan muktamad dalam tempoh terdekat ini.

“Ia merupakan cabaran besar, untuk saya dan kita perlu lihat secara serius. Bagi masa sikit, sebab kita di Sabah pun ada masalah.

“Banyak pertimbangannya, nation building yang ada banyak pertimbangan, beri saya sedikit masa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Peter Mojuntin, Penampang, pada Isnin.

Terdahulu, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu forum di ibu negara baru-baru ini telah mendedahkan kesediaan menamakan Mohd Shafie sebagai calon Perdana Menteri kesembilan bagi Pakatan Harapan Plus (PH+).

Langkah itu diambil selepas beliau gagal menemui kesepakatan dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim selain mempertimbangkan Mohd Shafie sebagai mempunyai matlamat sama untuk menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Mengulas lanjut, Mohd Shafie bersyukur apabila cadangan tersebut hadir daripada negarawan dan bekas perdana menteri dan meminta semua pihak memberikannya masa .

“Saya sangat bersyukur ianya (cadangan) datang dari Tun Mahathir, cadangkan saya sebagai calon Perdana Menteri, cadangan itu saya perlu teliti secara mendalam,” katanya.



[ad_2]
Source link