[ad_1]

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa menangguhkan selama setahun penguatkuasaan undang-undang baharu Seksyen 17A di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009 berhubung kesalahan rasuah syarikat korporat yang akan dilaksanakan 1 Jun ini.

Presiden Persatuan Pemeriksa Penipuan Bertauliah Malaysia, Datuk Seri Akhbar Satar, berkata penguatkuasaan seksyen tersebut berkait liabiliti korporat itu perlu ditangguhkan kepada 1 Jun 2021 bagi memberi tempoh mencukupi kepada syarikat meletakkan prosedur yang diperlukan.

Beliau berkata penangguhan itu perlu susulan penularan wabak COVID-19 telah menjejaskan perniagaan dengan kebanyakannya kini memberi tumpuan kepada kelangsungan untuk terus beroperasi.

Menurutnya, cadangan penangguhan itu berdasarkan tinjauan kajian penilaian oleh Institut Tadbir Urus Korporat (MICG) terhadap 100 syarikat tersenarai teratas di Malaysia berkaitan 13 aspek program antirasuah, mendapati hanya 13 syarikat mencapai skor lebih daripada 90 peratus pada tahun lalu.

“Skor purata ialah 62 peratus manakala penyelesaian untuk langkah pematuhan adalah 54 peratus,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

“Pandemik COVID-19 juga antara halangan dalam pelaksanaan peruntukan ini kerana ia menjejaskan aktiviti perniagaan. Banyak syarikat yang terjejas dengan COVID-19 dan ada juga yang menggulung tikar,” katanya.

Beliau juga menyarankan agar SPRM melihat semula pelaksanaan undang-undang baharu itu dengan tujuan memperbaikinya berdasarkan standard dunia.

“Antara lain, akan lebih tepat untuk mengubah perkataan ‘ganjaran’ kepada ‘bayaran tidak wajar’ di bawah seksyen 17A kerana ia meliputi bidang yang luas dan ia digunakan dalam undang-undang United Kingdom (UK). Bayaran ini yang dilakukan oleh organisasi komersial untuk tujuan memperoleh sebarang kontrak dengan menyogok pihak berkaitan,” katanya.

Beliau turut mencadangkan agar SPRM boleh menambah klausa Perjanjian Penangguhan Pendakwaan (DPA) dalam Seksyen 17A Akta SPRM seperti diamalkan di UK dan Singapura memandangkan syarikat asing yang mengambil keputusan untuk melabur di Malaysia akan turut melihat undang-undang antirasuah dan membandingkannya dengan negara lain yang mempunyai DPA.

“DPA memberi peluang kepada syarikat yang disiasat atas kesalahan liabiliti korporat melaksanakan program pematuhan dalam waktu yang ditentukan. Buat masa ini, kita tidak mempunyai prosedur sebegitu di Malaysia,” katanya.

Seksyen 17A itu diluluskan Parlimen pada 5 April 2018 dan di bawah peruntukan undang-udang itu, syarikat atau organisasi komersial dikenakan hukuman jika membenarkan pegawai dan kakitangan mereka melakukan rasuah untuk memperoleh sesuatu projek atau mendapat sesuatu faedah.

— BERNAMA



[ad_2]
Source link