[ad_1]

KUALA LUMPUR: Ruang dan peluang seluasnya perlu diberikan kepada golongan muda bukan sahaja sebagai penggerak dasar, sebaliknya menjadi pembuat keputusan sama ada di peringkat kerajaan, mahupun syarikat swasta.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, sebelum ini beliau turut menzahirkan rasa kecewa hingga jawatan ketua kampung juga menjadi halangan buat golongan muda dan belia untuk menggalasnya.

“Tapi kini mereka (ketua kampung) ada yang berusia 20-an atau awal 30-an. Dalam sektor korporat, pada tahun 1997 tatkala Asia berdepan krisis kewangan, ramai yang tidak sedar bahawa golongan muda diberi peluang untuk menyalamatkan syarikat-syarikat mega di Malaysia.

“Seperti MRCB dan Media Prima. Ada antara mereka seperti (Datuk) Shahril Ridza Ridzuan yang kini mengetuai syarikat pelaburan kerajaan terbesar, Khazanah Nasional Berhad – yang menggalas tugas itu pada awal 30-an untuk menyelamatkan MRCB.

“Beliau dilantik oleh Perdana Menteri (ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad) di mana beliau berjaya.

“Banyak lagi syarikat berkaitan kerajaan lain (GLC) sewaktu berdepan masalah, golongan muda dibawa masuk dan dapat menanganinya,” katanya pada ucaptma pembukaan Sidang Kemuncak Kuala Lumpur Belia (Youth KL Summit) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Tegasnya, golongan muda harus menafikan pandangan segelintir pihak yang menyifatkan golongan muda kurang matang dan tidak mampu membuat keputusan.

“Untuk mengatakan bahawa golongan muda tidak mampu, ia satu penipuan besar.

“Ia adalah berkenaan membuka pintu peluang dan memberi laluan kepada mereka menafikan persepsi (taboo) dalam kepimpinan yang menjurus kepada golongan muda.

“Apa yang penting adalah untuk membuktikan kepada seluruh dunia bahawa (kepimpinan belia) mampu memberi manfaat kepada setiap generasi,” jelasnya.

Usai ucaptama tersebut, ia diikuti dengan sesi soal jawab bersama para perwakilan belia daripada pelbagai negara-negara Islam.



[ad_2]
Source link