Belenggu Rindu, taruhan Jamal Abdillah tarik perhatian anak muda 1

KUALA LUMPUR: Datuk Jamal Abdillah mengakui single duet berjudul Belenggu Rindu bersama Wany Hasrita adalah taruhannya untuk menarik minat orang muda.

Malah, genre lagu tradisional kontemporari itu diyakini dapat mengembalikan zaman kegemilangan penyanyi berusia 60 tahun itu.

“Saya sangat bersyukur dengan tawaran untuk membuat rakaman dengan artis baharu ini, daripada pihak FMC. Ini adalah sesuatu yang saya tunggu, untuk berkolaborasi dengan anak muda.

“Pencipta lagu muda, dan arrangement pun muda. Dengan cara itu, saya akan masuk ke arena arus perdana hiburan di zaman ini,” katanya kepada Astro AWANI pada majlis makan tengah hari sempena pelancaran single duet Belenggu Rindu di SukaSucre Bistro 81, di sini, pada Rabu. 

Ini adalah sesuatu yang saya tunggu, untuk berkolaborasi dengan anak muda.

– Jamal Abdillah

Kata Jamal, untuk terus kekal dalam dunia nyanyian pada zaman ini, beliau perlu melakukan sesuatu mengikut perkembangan semasa dan kehendak anak muda.

“Saya rasa ramai yang tidak mengikuti lagu-lagu saya. Mereka yang berusia 16 hingga 22 tahun itu rasanya menganggap Jamal Abdillah ini suatu yang sudah lepas.

“Dengan cara ini, saya dapat memberi sedikit perhatian kepada peminat-peminat muda melalui duet dengan Wany Hasrita dan mencuri sedikit perhatian di arena sekarang,” ujarnya. 

Dalam pada itu, Jamal berkata, seperti kelaziman sebelum ini, beliau membuat rakaman lagu duet Belenggu Rindu secara berasingan. Baginya, beliau lebih selesa dengan caranya yang tersendiri.

Mereka yang berusia 16 hingga 22 tahun rasanya menganggap Jamal Abdillah ini suatu yang sudah lepas.

– Jamal Abdillah

“Kalau rakaman, kita perlu tahu bahawa lagu itu adalah baharu. Macam saya dahulu dengan Datuk M Nasir, Datuk Hattan, Siti Sarah, Francisca Peter.

“Memang asalnya, saya tidak suka kalau orang lain ada. Sebab, kita ini manusia, lemah. Kadang-kala ada buat silap, jadi, malulah,”

Belenggu Rindu mula dilancarkan lebih seminggu lalu di laman YouTube dan setakat ini mendapat lebih sejuta tontonan.





Source link