KUALA LUMPUR: Melalui Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan (NFCP), Malaysia akan menikmati liputan berkelajuan tinggi yang komprehensif, serta jaringan digital yang berkualiti tinggi, termasuk kawasan luar bandar, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Sewaktu membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata, pelan itu akan memerlukan dana sebanyak RM21.bilion melalui kerjasama awam swasta.

Beliau berkata, kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) akan membiayai lebih separuh daripada pelaburan yang diperlukan dengan pelaburan oleh sektor swasta dalam bidang telekomunikasi melalui geran padanan.

“Sebagai sebahagian daripada NFCP, kerajaan akan meningkatkan kesalinghubungan di kawasan pedalaman Malaysia, khususnya di Sabah dan Sarawak bagi memastikan tiada pihak yang terpinggir dalam agenda digital negara.

“SKMM akan memperuntukkan RM250 juta untuk menyediakan akses jalur lebar melalui teknologi satelit,” katanya.

Selain itu, Guan Eng berkata, kerajaan akan memperuntukkan RM210 juta untuk mempercepatkan infrastruktur digital di bangunan awam terutamanya sekolah dan kawasan berimpak tinggi seperti taman perindustrian.

“Keutamaan akan diberikan kepada lokasi di negeri yang dapat memudahkan dan mempercepat pelaksanaan NFCP,” jelasnya lagi.





Source link