[ad_1]

KUALA LUMPUR : Bilangan pelanggan yang ‘menyerbu’ pasar raya Mydin meningkat dua kali ganda berikutan khabar angin kerajaan akan melaksanakan perintah berkurung tersebar, namun tindakan itu sebenarnya dikatakan tidak perlu.

Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd, Datuk Ameer Ali Mydin, berkata orang ramai tidak seharusnya bimbang seterusnya membuat pembelian panik kerana bekalan makanan sebenarnya mencukupi.

“Secara purata, setiap satu cawangan Mydin hanya dikunjungi kira-kira 5,000 pelanggan setiap hari, namun jumlah itu meningkat kepada 10,000 orang malam tadi (Isnin).

“Kita menjangkakan jumlah itu akan terus meningkat tiga kali ganda kepada 15,000 pelanggan hari ini,” katanya ketika ditemui Astro AWANi di sini, pada Selasa.

Ameer Ali yang juga Presiden Persatuan Peruncit Bumiputera (BRO) berkata, pasar raya besar itu telah memanjangkan waktu operasi setengah jam lebih awal bagi memberi ruang serta keselesaan kepada warga emas dan orang kurang upaya (OKU) bagi mengelakkan golongan itu berebut dengan pelanggan lain.

Tempoh setengah awal itu katanya, hanya dibuka khas kepada golongan warga emas dan OKU serta keluarga yang mengiringi mereka.

“Pada masa yang sama, kita juga menyediakan dua kaunter khas bagi mereka” tambahnya.

Beliau berkata, Mydin juga terpaksa menghadkan pembelian beberapa barangan kawalan seperti beras dan minyak kepada dua bungkusan setiap keluarga bagi membolehkan setiap pelanggan mendapat barangan sama rata.

Tinjauan Astro AWANI di pasar raya besar Mydin, USJ mendapati, orang ramai berpusu-pusu dengan troli yang penuh dengan makanan kering, beras, minyak dan susu formula. Juga dilihat barisan panjang yang luar biasa di kaunter-kaunter pasar raya itu.

Malah ada antara mereka yang mengaku mengambil cuti semata-mata untuk membeli barangan keperluan harian kerana khuatir bekalan habis. 

Dalam pada itu, seorang pekerja swasta, Naizam Ali, 50, memberitahu, dia datang seawal pukul 8 pagi bagi membeli bekalan keperluannya untuk tiga minggu.

“Saya ingatkan tak ramai orang kalau datang awal, sekali penuh pasar raya ini,” katanya yang mengakui melakukan pembelian panik.

Perkara yang sama turut dikongsi oleh seorang agen insurans R. Arumugam, 73, yang memberitahu, dia terpaksa membeli barang dalam jumlah yang banyak memandangkan kesemua anak-anaknya bekerja dan khuatir bekalan habis. 

Lain pula kata, Kartika Sari Khalid, 49, yang menyifatkannya sebagai pembelian panik.

“Kedai-kedai masih beroperasi seperti biasa dan masih mendapat akses untuk membeli barang,” jelasnya.



[ad_2]
Source link