[ad_1]

KULAI: Pembekalan secara Bekalan Air Berjadual (BAB) dijangka akan dilaksanakan di sebahagian daripada kawasan Mersing tidak lama lagi, berikutan paras air di Empangan Labong yang menunjukkan bacaan paras henti loji.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti Johor, Jimmy Puah Wee Tse berkata pelaksanaan itu bakal melibatkan seramai 25,000 pengguna.

Beliau berkata tarikh pelaksanaan BAB yang tepat masih belum diputuskan lagi, namun ia hampir pasti akan berlaku dalam masa terdekat, melibatkan 4,987 akaun pengguna.

“Ini disebabkan keadaan cuaca panas dan kering berterusan serta tidak nampak apa-apa perubahan dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Geran Bantuan ke Institut Pengajian Tinggi Tahun 2019 di Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat Dun Bukit Batu, di sini, hari ini.

Meskipun kebelakangan ini hujan mulai kerap berlaku di Johor, namun ia dilihat masih tidak dapat memulihkan rizab bekalan air.

“Bacaan paras air akan bertambah sekiranya Johor menerima hujan secara tidak henti. Jadi, setakat ini, keadaan tiada penambahbaikan,” katanya.

Tambahnya lagi, kerajaan negeri masih lagi berbincang dengan Jabatan Matereologi Malaysia dan syarikat yang melaksanakan operasi pembenihan awan untuk melaksanakan operasi berkenaan dalam masa terdekat.

Terdahulu, dalam majlis berkenaan seramai 32 pelajar menerima bantuan, di mana tiga pelajar yang melanjutkan pelajaran di peringkat diploma menerima bantuan RM500 manakala 29 pelajar yang menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana muda pula menerima RM1,000.

— BERNAMA



[ad_2]
Source link