Bedah siasat mayat disyaki peserta kayak dilakukan esok - Polis 1

KEMAMAN: Proses bedah siasat keatas mayat dipercayai salah seorang daripada peserta kayak warga Singapura akan dilakukan pada Khamis.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Mohd Haki Hasbullah berkata pihaknya masih menunggu ahli keluarga mangsa untuk melakukan pengecaman.

Menurutnya selepas itu proses bedah siasat akan dilakukan di unit forensik Hospital Kemaman.

“Susulan daripada yang terapung di perairan Kemaman, proses bedah siasat dijangka akan dijalankan pagi esok.

“Ketika ini pihak PDRM (Polis Diraja Malaysia) masih menunggu ahli keluarga mangsa yang masih dalam perjalanan ke Kemaman untuk tujuan pengecaman setelah pengecaman dibuat oleh ahli keluarga mangsa, maka proses bedah siasat akan dijalankan di unit forensik Hospital Daerah Kemaman.

“Berkemungkinan mayat yang dijumpai ada kaitan dengan salah seorang peserta kayak yang merupakan warganegara Singapura yang dilaporkan hilang di Mersing baru-baru ini, insya-Allah kita akan menunggu pengecaman dulu dari pihak keluarga mangsa yang dalam perjalanan ke Hospital Kemaman.

BACA: Mayat lengkap berpakaian disyaki peserta kayak dijumpai terapung di Kemaman

Pada Rabu mayat seorang disyaki wanita ditemui terapung kira-kira enam batu nautika dari Kuala Kemaman.

Ketika dijumpai, mayat tersebut masih berpakaian seluar hitam dan baju-t merah lengan panjang serta masih memakai jaket keselamatan.

Khamis lalu, dua warga Singapura, dilaporkan hilang pada kira-kira 5.40 petang selepas kayak dinaiki mereka terpisah dengan 13 lagi rakan mereka antara Pulau Sri Buat, Pahang dan Pulau Mertang, Mersing.





Source link