[ad_1]

KIMANIS: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi hari ini menjelaskan bantuan yang diumumkan untuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bongawan II adalah melalui peruntukan beliau selaku menteri dan bukan peruntukan daripada kementeriannya.

Justeru, Mohamaddin menepis dakwaan Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong yang menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat beliau susulan pengumumannya itu yang dikatakan membeli undi semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, dan menjadi kesalahan mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Rakyat perlu dibela dan sebagai pemimpin tidak perlu berdolak dalih dan bersikap bertangguh,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Lahad Datu, dalam kenyataan pada Ahad.

Ketika merasmikan Jelajah Cuti-Cuti Malaysia sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM2020) di sekolah itu semalam, Mohamaddin mengumumkan peruntukan RM50,000 itu susulan permohonan bantuan secara terbuka daripada Pegawai Daerah Papar Ghulam Rasul Hapil, bagi membaiki kemudahan di SMK Bongawan II.

Mengulas lanjut, Mohamaddin berkata langkah mengumumkan peruntukan itu adalah kerana rasa bertanggungjawab dan tidak mahu bersikap bertangguh apabila rakyat mengadu tentang kesusahan mereka.

“Saya mesti beri komitmen untuk bantu, ini tidak mengira masa, waktu pilihan raya atau tidak, itu tanggungjawab saya. Beliau (Wee Ka Siong) sebagai bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, beliau sepatutnya lebih maklum dengan situasi sebegini,” katanya.

Mohamaddin berkata beliau mengambil ikhtibar daripada kegagalan kerajaan terdahulu kerana sikap gemar menangguhkan harapan dan kehendak rakyat menyebabkan rakyat berubah hati.

— BERNAMA



[ad_2]
Source link