KUALA LUMPUR: Pembinaan dua daripada tiga bangunan 8 Conlay di ibu negara yang condong dan seakan-akan menyerupai bangunan ‘berpelukan’, adalah berkonsepkan ‘Yin dan Yang’, iaitu keseimbangan dalam kehidupan, menurut pereka bangunan itu, Hud Bakar dari RSP Architects Kuala Lumpur.

Katanya, bangunan itu dibina menggunakan teknologi perisian komputer yang canggih bagi menjamin keunikan setiap tingkat pada bangunan kediaman berservis tersebut, tanpa mengabaikan faktor keselamatan.

“Sebagai arkitek, kami harus berfikir lebih mendalam apabila ingin mereka bentuk sebuah bangunan yang condong seperti ini kerana ia tidak senang, setiap satu lantai mempunyai ofset atau perbezaannya tersendiri.

“Menstruktur bangunan ini juga memerlukan pengiraan yang teliti kerana ia bukan seperti bangunan lurus yang lain dan mempunyai daya yang berbeza pada setiap tingkat,” kayanya ketika ditemui Astro AWANI di satu sidang media di Kuala Lumpur, pada Khamis.

Sementara itu, Hud berkata bangunan kediaman berservis, bersilang dan berkembar tertinggi dunia itu direka sedemikian sejak dari awal, sekali gus menjamin keselamatan dan kesihatan semua.

Menurutnya lagi, penularan bangunan “senget” dianggap sebagai sesuatu yang positif di mana ia dapat membuka mata rakyat Malaysia terhadap intipati industri reka bentuk dan arkitek.

Bangunan kediaman berservis, berkembar dan bersilang tertinggi dunia oleh Kempinski dijangka siap akhir tahun ini.

Disember lalu, sebuah bangunan tinggi di tengah-tengah Kuala Lumpur tular di media sosial kerana bimbang akan tumbang dan menyebabkan kesesakan lalu lintas.

Kini, pembinaan bangunan tersebut sudah mencecah tingkat ke 30 dan dijangka siap akhir tahun ini.

BACA: Bertenang… Bangunan ‘senget’ di tengah KL memang begitu, tidak akan tumbang





Source link