[ad_1]

MENTERI Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali senada dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang nenegaskan Tun Dr Mahathir Mohamad harus memimpin negara sehingga ke akhir penggal.

Menurut Timbalan Presiden PKR itu, kepimpinan Dr Mahathir diperlukan bagi memastikan  usaha mengembalikan kegemilangan negara dapat direalisasikan dengan segera.

Kepimpinan Dr. Mahathir, kata Azmin, diperlukan untuk menjamin kestabilan, kesinambungan dan ketuntasan (consistency) dasar-dasar Kerajaan bagi merangsang pelaburan, mencipta peluang-peluang pekerjaan serta kekayaan untuk semua.

Bahkan, Azmin turut melahirkan keyakinan bahawa kestabilan politik akan menjana keutuhan dasar dan kebijakan negara termasuk konsep ‘shared prosperity’ yang bakal mengembalikan Malaysia sebagai Harimau Asia.

Dalam masa sama, Azmin berkata, mandat rakyat yang diterima oleh Pakatan Harapan lebih setahun yang lalu memerlukan kestabilan demi melaksanakan reformasi institusi dan langkah-langkah positif untuk memulihkan ekonomi.

“Kejayaan melaksana agenda serampang dua mata ini akan memberikan manfaat kepada semua rakyat tanpa mengira fahaman politik mereka.

“Pendirian tersebut adalah seiring pandangan yang pernah saya lontarkan supaya usaha mengembalikan kegemilangan negara dapat direalisasikan dengan segera,” kata Azmin dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin.

Kenyataan media yang dikeluarkan Azmin Ali menyokong kepimpinan Dr Mahathir sehingga ke akhir penggal.

Gabungan Pakatan Harapan sebelum ini mencapai kata sepakat bahawa Dr Mahathir akan menyerahkan tugas meneraju negara kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, tiada masa yang ditetapkan untuk tempoh peralihan itu.

Isu peralihan kuasa antara Dr Mahathir dan Anwar bagaimanapun, menjadi perdebatan dan persoalan sejak kebelakangan ini.

Dr Mahathir sering ditanya dan didesak untuk mengumumkan bila akan menyerahkan tampuk kepimpinan negara pada penggantinya.

Dalam kenyataan sama, Azmin turut memberitahu, dukungan bipartisan terhadap Perdana Menteri merupakan lembaran baharu dalam politik Malaysia dengan kepentingan rakyat diberikan keutamaan.

“Ini telah ditampilkan dalam meluluskan pindaan Perlembagaan yang menurunkan had usia mengundi pilihan raya kepada 18 tahun.

Sokongan tersebut adalah bukti keyakinan terhadap kepimpinan YAB Tun Dr. Mahathir yang berhemah tinggi sesuai dengan peranannya sebagai negarawan ulung negara,” ujar Azmin lagi.

Azmin turut menegaskan, Malaysia sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi tentu sekali tidak terlepas daripada senario perbezaan politik.

“Namun, setiap perbezaan itu perlu diurus dengan baik demi menjamin kepentingan rakyat,” sambung Azmin lagi.



[ad_2]
Source link